Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar.

SERDANG – Misi kemanusiaan flotilla Freedom Flotilla Coalition X Thousand Madleens to Gaza (FFCxTMTGM) kini belayar di perairan antarabangsa berdekatan Mesir dan dijangka memasuki zon kuning malam esok.

Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, kapal Conscience yang membawa lapan delegasi Malaysia akan meneruskan pelayaran dengan knot perlahan untuk belayar seiring dan bergabung dengan lapan kapal lain.

Menurut beliau, ketika ini, jarak pelayaran kesemua sembilan kapal berada di 200 batu nautika dari perairan pantai Gaza dalam keadaan cuaca yang baik, selain fizikal dan minda yang siapa siaga.

“Kapal Sonscience yang membawa lapan orang delegasi Malaysia akan meneruskan pelayaran dengan not perlahan untuk berlayar seiring dan bergabung dengan lapan kapal yang lain memasuki zon kuning.

“Mereka kemudian dijangka melintasi 150 batu nautika dalam tempoh tengah malam esok di mana jarak antara 150 ke 200 batu nautika dari perairan Gaza akan mula memasuki zon merah.

“Seperti diketahui, zon tersebut adalah kritikal di mana selalu pintasan berlaku akan berlaku,” katanya pada sidang media di ibu pejabat MyCARE di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Kamarul Zaman menambah, kapal pemerhati Shireen Abu Akleh yang membawa pasukan peguam tidak dapat belayar bersama  kapal lain semalam sebelum memasuki zon kuning.

Jelas beliau, ini kerana terdapat kerosakan yang berlaku dan terpaksa berpatah balik kerana perlu dibaiki di Cyprus.

“Selain itu, hari ini juga genap dua tahun peristiwa Taufan Al-Aqsa dan lebih 67, 000 nyawa terkorban dan penindasan serta pembantaian rejim Zionis ini tidak bermula pada 7 Oktober 2023.

“Sebaliknya penindasan berterusan itu telah berlaku selama 75 tahun yang lalu ke atas rakyat Gaza.

Sementara itu, ketika ini, delegasi Malaysia  dalam FFCxTMTGM diketuai oleh MyCARE dengan membawa lapan aktivis tempatan yang belayar di atas kapal Conscience dan seorang lagi delegasi di atas kapal layar Umm Saad.

Conscience yang merupakan kapal terbesar melibatkan 10 kru, 20 wartawan antarabangsa, 21 pakar perubatan, tiga orang ahli Parlimen, 34 aktivis dan enam Jawatankuasa Pemandu FFC.

Mereka seramai 93 perserta dari 22 buah negara telah berlepas dari Porto Otranto, Itali, pada 30 September lepas.

Lapan wakil Malaysia berada dalam kapal iaitu Profesor Emeritus Dr MohdAlauddin Mohd Ali yang juga Ketua Delegasi Malaysia dan tiga doktor perubatan iaitu Dr Fauziah Mohd Hassan, Dr Hafiz Sulaiman dan Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi.

Dua pensyarah turut serta iaitu Profesor Dr Mohd Afandi Salleh dan DrNoorhasyimah Ismail; Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Norsham Abu Bakar dan wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Abdul Jalil.

Pada masa sama, doktor perubatan Dr Maziah Muhammad berada di atas Kapal Umm Saad bersama tujuh kapal layar lain yang telah berlepas dari Catania di Sicily menuju ke Gaza pada 27 September lalu.

Secara keseluruhan misi ini melibatkan kira-kira 150 peserta dari 25 buah negara termasuk sembilan orang delegasi Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast