MELAKA – Seorang lelaki warga Mesir didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka hari ini atas pertuduhan menggunakan dadah, Sabtu lalu.
Mengikut pertuduhan, tertuduh, Hosam Mohamed Mahmoud Elsayed, 48, didakwa telah menggunakan kepada dirinya sendiri dadah berbahaya jenis 11-Nor-Delta-9-Tetrahydrocannabinol-9-Carboxylic Acid (THC).
Perbuatan menggunakan dadah jenis ganja itu itu dilakukan tertuduh di tandas Pejabat Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah pada pukul 7 malam pada 4 Oktober lalu.
Hosam Mohamed bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan penjara selama tidak lebih dua tahun mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15(1) akta sama.
Kesalahan itu turut dibaca di bawah Seksyen 38B akta sama yang memperuntukkan hukuman menjalani pengawasan tidak kurang dua tahun dan tidak lebih tiga tahun, jika sabit kesalahan.
Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh selepas mendapati pasportnya tidak mempunyai rekod kemasukan ke Malaysia yang sah, namun akan mempertimbangkannya sekiranya tertuduh mengemukakan alasan munasabah.
Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula adalah pada 19 November bagi serahan laporan patologi.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Abdullah Mohd. Rodzlad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – MalaysiaGazette
















