KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) mendedahkan satu lagi kes membabitkan rakyat Malaysia yang dipercayai menjadi mangsa sindiket penipuan kerja di Thailand dan kini dijadikan tebusan bagi mendapatkan wang.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu melibatkan seorang lelaki dari Pulau Pinang yang dipercayai diculik oleh sindiket berkenaan sejak pertengahan bulan lalu.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat diperoleh, sindiket tersebut bertindak mengugut keluarga mangsa dengan ancaman untuk mencederakan anak mereka sekiranya wang tebusan tidak dibayar seperti yang diminta.
“Pembayaran wang tebusan tidak akan menyelesaikan masalah. Setiap bayaran hanya menguatkan lagi cengkaman sindiket terhadap mangsa dan keluarga,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas sidang media bersama mangsa di sini hari ini.
Menurut Hishamuddin, MHO kini sedang berusaha mendapatkan bantuan pihak berkuasa tempatan dan antarabangsa melalui wakil pertubuhan itu bagi menjejaki mangsa serta menamatkan kegiatan sindiket berkenaan.
Katanya, pihak keluarga dilaporkan telah membuat beberapa pembayaran dalam bentuk mata wang kripto USDT seperti diarahkan oleh sindiket namun selepas bayaran terakhir dibuat pada 30 September lalu, komunikasi bersama mangsa terputus.
“Kami menasihatkan keluarga mangsa supaya tidak lagi membuat bayaran tambahan kepada pihak yang tidak dikenal pasti bagi mengelak terus diperas ugut,” katanya.
Hishamuddin berkata, MHO memandang serius peningkatan kes seumpama ini dan akan terus membantu mangsa serta keluarga yang terperangkap dengan taktik sindiket penipuan kerja di luar negara.
“MHO sedang menyalurkan maklumat yang diterima kepada pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan mangsa dapat diselamatkan dengan segera,” ujarnya.
Beliau turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan supaya tampil menyalurkannya kepada MHO bagi membantu usaha penyelamatan dan menamatkan kegiatan jenayah tersebut. -MalaysiaGazette
















