SERDANG – Delegasi Malaysia Misi kemanusiaan flotilla Freedom Flotilla Coalition X Thousand Madleens to Gaza (FFCxTMTGM) diingatkan agar mereka tidak agresif atau melawan sekiranya dipintas dan ditahan tentera Israel.
Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, aktivis seramai sembilan orang itu perlu kekal tenang bagi mengelak tindak balas tentera itu untuk mengasari mereka.
“Peserta ini diminta sangat-sangat supaya tenang sentiasa. Jangan agresif kerana itu menjadi satu bahan untuk Israel mengasari mereka pula.
“Jangan jadikan apa-apa sebagai alasan untuk Israel agresif. Jadi persediaan minda sangat-sangat kritikal,” katanya pada sidang media di ibu pejabat MyCARE di sini hari ini.
Kamarul Zaman memberitahu, penganjur telah melakukan saringan yang ketat termasuk berkaitan persediaan dari segi minda sewaktu pemilihan peserta untuk misi FFCxTMTG sebelum ini.
Antaranya kata beliau, menerusi latihan simulasi untuk melihat peserta akan memberi reaksi sekiranya terdapat kekerasan daripada tentera Israel.
“Kalau orang ini agresif sikit, dia tidak akan dipilih untuk bersama (misi). Takut nanti akan menyusahkan atau memberi kesan kepada peserta lain,” katanya.
Ketika ini, delegasi Malaysia dalam FFCxTMTGM diketuai oleh MyCARE dengan membawa lapan aktivis tempatan yang belayar di atas kapal Conscience dan seorang lagi delegasi di atas kapal layar Umm Saad.
Conscience yang merupakan kapal terbesar melibatkan 10 kru, 20 wartawan antarabangsa, 21 pakar perubatan, tiga orang ahli Parlimen, 34 aktivis dan enam Jawatankuasa Pemandu FFC.
Mereka seramai 93 perserta dari 22 buah negara telah berlepas dari Porto Otranto, Itali, pada 30 September lepas.
Lapan wakil Malaysia berada dalam kapal iaitu Profesor Emeritus Dr MohdAlauddin Mohd Ali yang juga Ketua Delegasi Malaysia dan tiga doktor perubatan iaitu Dr Fauziah Mohd Hassan, Dr Hafiz Sulaiman dan Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi.
Dua pensyarah turut serta iaitu Profesor Dr Mohd Afandi Salleh dan DrNoorhasyimah Ismail; Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Norsham Abu Bakar dan wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Abdul Jalil.
Pada masa sama, doktor perubatan Dr Maziah Muhammad berada di atas Kapal Umm Saad bersama tujuh kapal layar lain yang telah berlepas dari Catania di Sicily menuju ke Gaza pada 27 September lalu.
Secara keseluruhan misi ini melibatkan kira-kira 150 peserta dari 25 buah negara termasuk sembilan orang delegasi Malaysia. – MalaysiaGazette
















