KUALA LUMPUR – Anak kepada pasangan Prof Emeritus Dr. Mohd Alauddin Mohd Ali dan Dr. Fauziah Mohd Hassan bimbang dengan keselamatan ibu dan bapanya yang kini ditahan tentera Israel.
Menurut Shamil Mohd Alauddin, kebimbangan itu berdasarkan layanan rejim zionis itu terhadap peserta Global Sumud Flotilla (GSF) baru-baru ini dan tidak mustahil Israel akan bertindak ganas dan agresif.
Apatah lagi katanya, ibunya sebelum ini pernah ditahan oleh tentera Israel dalam misi ‘Women’s Boat to Gaza” pada 2016.
“Harap ibu saya pulang dengan selamat dan sihat, tanpa diapa-apakan.
“Memang saya akan rasa bimbang sebab kita tidak tahu apa respons zionis, kita boleh nampak daripada flotilla (GSF) semakin mengganas dan agresif terhadap tahanan, kita tidak tahu layanan kali ini terutama ibu saya pernah masuk penjara sebelum ini. Mungkin mereka tahu, mungkin mereka akan lebih agresif kali ini.
“Kita cuma boleh mendoakan keselamatan, harap kerajaan boleh lakukan apa yang perlu untuk percepatkan pembebasan mereka,” katanya Ketika ditemui pada sidang media di Pusat Kawalan MyCare, di sini.
Terdahulu, MyCare mengesahkan sembilan rakyat Malaysia ditahan tentera Israel selepas kapal dinaiki mereka yang membawa misi bantuan kemanusiaan dipintas pada 10.50 pagi tadi (waktu Malaysia).
Tambah Shamil, selepas mendapat tahu berita terkini itu, beliau bergegas ke Pusat Kawalan MyCare bagi mendapatkan informasi terkini.
“Bila dapat tahu sudah ada rancangan apa yang perlu dibuat, memang tidak jangka seawal. Kita terus siap-siap hubungi MyCare untuk tahu apa bantuan yang kami keluarga boleh lakukan untuk percepatkan proses bebaskan,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















