Polis menahan dua lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri kabel bawah tanah milik Telekom Malaysia (TM) dalam satu operasi di Simpang Jalan Cerdas, Wisma Persekutuan, Miri, Sarawak malam tadi. Ihsan Foto : MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Polis menahan dua lelaki yang disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri kabel bawah tanah milik Telekom Malaysia (TM) dalam satu operasi di Simpang Jalan Cerdas, Wisma Persekutuan, Miri, Sarawak, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, kedua-dua suspek ditahan pada jam 11.20 malam selepas didapati berada dalam keadaan mencurigakan di tepi kawasan kabel bawah tanah TM.

“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek sedang membuat persediaan untuk memotong kabel bawah tanah milik TM dengan menggunakan peralatan seperti chain block dan player,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kedua-dua suspek yang berusia 41 tahun dan 28 tahun itu dipercayai giat mencuri kabel bawah tanah pada lewat malam di kawasan sunyi dan gelap bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Kedua-duanya kini ditahan di lokap polis dan akan dibawa ke Mahkamah Miri hari ini untuk permohonan reman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan.

“Pihak polis akan sentiasa komited membanteras kegiatan jenayah, khususnya kecurian kabel, dan mengalu-alukan kerjasama masyarakat untuk menyalurkan sebarang maklumat bagi membantu siasatan,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast