Kasthuri Patto

KUALA LUMPUR – Hukuman mati disifatkan tidak berperikemanusiaan dan bukan ukuran sebenar keadilan, kata Setiausaha Hal-Ehwal Antarabangsa DAP, Kasthuri Patto.

Menurut beliau, tiada sistem yang sempurna dan tiada proses siasatan serta sistem kehakiman yang bebas daripada kesilapan.

Tambahnya, ia antara sebab mengapa undang-undang, dasar dan sistem di seluruh dunia sentiasa berubah, berkembang dan maju.

Sebagai contoh, ujarnya, apa yang dahulu hanya impian tentang kecerdasan buatan (AI), kini sudah menjadi realiti dalam kehidupan masyarakat,

“Namun ramai yang masih berpegang pada bentuk hukuman kuno itu, yang didorong oleh kemarahan, emosi dan kurang pengetahuan tentang isu sebenar di sebalik hukuman mati,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu sempena Hari Menentang Hukuman Mati Sedunia bertemakan `Hukuman Mati Tidak Melindungi Sesiapa’ yang akan disambut esok.

Sementara itu, Kasthuri menyifatkan tema sambutan tahun ini tepat pada masa kerana wujud kerajaan-kerajaan yang bersembunyi di sebalik kegagalan dan kelemahan mereka dalam mencegah jenayah.

Sebaliknya, kata beliau, kerajaan tersebut menggunakan hukuman mati sebagai alat untuk menambah baik persepsi, pandangan dan keyakinan rakyat terhadap urusan pentadbiran atas nama keselamatan negara dan mengikut slogan bahawa `kalau buat salah, terimalah padahnya’.

Malah, tambahnya, sambutan tahun ini juga amat sukar berikutan pelaksanaan hukuman mati terhadap empat rakyat Malaysia di Singapura dengan yang terbaharu melibatkan P. Pannir Selvam yang telah dihukum mati di Penjara Changi, semalam.

“Masih ada dua lagi warganegara Malaysia yang menunggu tarikh hukuman mati mereka di sana. Amat menyedihkan apabila rakyat Malaysia tidak dihukum mati di tanah air sendiri tetapi di seberang sempadan di Singapura,” katanya.

Jelas beliau, setelah berdekad memperjuangkan, melobi, kerja-kerja aktivisme serta dengan sokongan dan solidariti rakan-rakan luar negara, Malaysia di bawah Kerajaan MADANI akhirnya memansuhkan hukuman mati mandatori pada 2023.

Katanya, pindaan bersejarah itu menandakan permulaan langkah kecil tetapi signifikan ke arah usaha menegakkan kedaulatan undang-undang.

“Hukuman mati tidak melindungi sesiapa dan tidak sepatutnya wujud di mana-mana tempat di dunia ini,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast