SEPANG – Cubaan menyeludup bunga ganja bernilai hampir RM98.03 juta menggunakan kotak tuala berlabel Premium Cotton Towel ke negara-negara Eropah dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (LTAKL) dalam tiga operasi besar pada akhir September hingga awal Oktober lalu.
Sindiket antarabangsa itu dipercayai menjadikan Malaysia sebagai pusat pembungkusan semula dadah berkenaan yang dibawa masuk dari kawasan Segi Tiga Emas sebelum dieksport ke luar negara melalui saluran logistik tempatan.
Pengarah Kastam JKDM LTAKL, Zulkifli Muhammad berkata, taktik sindiket berkenaan terbongkar hasil pemeriksaan rapi dan risikan pihaknya bersama Bahagian Perkastaman serta Cawangan Eksport.
“Kita percaya bahan tersebut dibungkus semula di dalam negara sebelum dihantar keluar bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Syarikat tempatan yang kotaknya digunakan untuk menyembunyikan dadah turut sedang disiasat bagi membantu siasatan,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Operasi pertama dijalankan pada 27 September 2025 apabila pasukan penguat kuasa JKDM bersama pegawai Cawangan Eksport melakukan pemeriksaan terhadap dagangan yang dibawa menggunakan lori perkhidmatan kurier ke Zon Bebas KLIA bagi tujuan eksport.
Hasil pemeriksaan menemui 21 bungkusan berisi bunga ganja seberat 220.32 kilogram yang dianggarkan bernilai RM21.59 juta.
Dadah berkenaan dipercayai cuba diseludup keluar ke salah sebuah negara Eropah.
Susulan itu, dua serbuan berasingan pada 29 dan 30 September 2025 dilakukan di dua gudang logistik di Shah Alam dan Subang Jaya, dipercayai menjadi lokasi transit sindiket terbabit.
Pemeriksaan terhadap empat konsaimen dagangan berbeza menemukan 52 kotak berisi bunga ganja seberat 464.58 kilogram bernilai RM45.53 juta.
Sementara itu, satu lagi cubaan eksport pada 3 Oktober 2025 menggunakan lori kurier di Zon Bebas KLIA turut berjaya dipatahkan.
Pemeriksaan ke atas 28 bungkusan dagangan menemui 294.35 kilogram ganja dengan nilai rampasan dianggarkan RM28.85 juta.
“Ketiga-tiga suspek bagi tiga operasi ini berusia lingkungan 30-an dan dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket pengedaran antarabangsa yang menggunakan saluran logistik tempatan bagi mengaburi pihak berkuasa,” ujar Zulkifli.
Menurutnya, modus operandi sindiket tersebut adalah dengan membungkus dadah ke dalam kotak tuala sebelum dibalut menggunakan plastik kedap udara bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Dalam operasi berasingan pada 1 Oktober 2025, seorang lelaki warga tempatan berusia 60 tahun turut ditahan di Terminal 1 LTAKL selepas gagal meninggalkan Malaysia kerana tidak menjelaskan duti cukai kepada pihak kastam.
Pemeriksaan lanjut menemui 21.04 kilogram ganja bernilai RM2.06 juta di dalam bagasi daftar masuk miliknya yang disorok menggunakan plastik kedap udara.
Suspek telah dakwa di mahkamah di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
Setakat ini, lima orang individu ditahan bagi membantu siasatan, termasuk pemandu lori logistik dan pemilik gudang yang terbabit dalam penghantaran barangan tersebut.
Kesemua kes kini disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup, serta tidak kurang daripada 12 sebatan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati. – MalaysiaGazette














