Anggota penguat kuasa mengetuk pintu sebuah bilik selepas terdapat pasangan bukan muhrim berkhalwat dalam sebuah hotel di Kluang, malam tadi.

KLUANG – Seorang duda berjaya dicekup ketika cuba terjun dari tingkat dua sebuah hotel di bandar ini awal pagi tadi selepas dipercayai berkhalwat dengan isteri orang.

Lelaki berusia 40-an itu cuba meloloskan diri melalui tingkap dan sudah berdiri di atas kompresor penghawa dingin tetapi gagal kerana anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) sudah berada di bawah hotel itu.

Menurut JAINJ dalam satu kenyataan hari ini, serbuan tersebut dilakukan pukul 1.30 pagi selepas mendapat aduan.

“Pintu bilik diketuk selama 10 minit barulah dibuka oleh seorang wanita berpakaian lengkap bertudung dan menutup aurat. Pada mulanya didapati hanya seorang wanita sahaja dalam bilik itu.

“Namun keadaan tingkap didapati terbuka dan tidak lama kemudian terdengar teriakan suara seorang penguat kuasa dari luar yang ditugaskan berkawal di belakang hotel semasa operasi tersebut,” jelas kenyataan itu hari ini.

JAINJ memberitahu, penguat kuasa itu menggunakan lampu suluh dan kelihatan suspek yang berseluar panjang dan tidak berbaju cuba melarikan diri dari tingkap.

Jabatan itu memaklumkan, menerusi bantuan penguat kuasa, lelaki tersebut berjaya ditarik masuk ke dalam bilik.

“Lelaki itu mengeluarkan kata-kata kesat dan tidak puas hati kepada penguat kuasa yang menjaga belakang hotel. Dia marah kerana cubaan melarikan lari tidak berhasil. Penguat kuasa menenangkan lelaki tersebut,” katanya.

Jelas kenyataan itu lagi, suspek lelaki berstatus duda dan bekerja di daerah ini manakala wanita pula isteri orang berusia 30-an yang mempunyai seorang anak umur dan bekerja di daerah lain.

“Wanita itu mendakwa datang ke Kluang untuk membeli barang dan berehat di hotel sementara sebelum pulang ke rumah.

“Keadaan dalam bilik berselerak sementara atas meja ada makanan dan minuman yang dah habis makan separuh,” ujarnya.

Pasangan itu jelas JAINJ, ditangkap atas kesalahan khalwat bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor yang boleh membawa hukuman denda sehingga RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast