KUALA LUMPUR – Pemberian diskaun tol 50% sempena sambutan Deepavali yang diumumkan dalam Belanjawan 2026 hari ini akan dilaksanakan bermula pada jam 12.01 tengah malam, 18 Oktober 2025 (Sabtu) dan berakhir 11.59 malam, 19 Oktober 2025 (Ahad) di semua plaza tol kecuali di Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kerajaan akan menanggung implikasi kewangan yang dianggarkan sebanyak RM19.86 juta bagi membayar pampasan kepada semua syarikat konsesi lebuh raya bertol.
“Pemberian diskaun tol 50% ini adalah selaras dengan teras utama Kerajaan Malaysia Madani iaitu kesejahteraan dan ihsan dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat dengan harapan ia akan mengukuhkan perpaduan antara kaum ke arah pembinaan Bangsa Malaysia yang bersatu padu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau meminta pengguna lebuh raya memanfaatkan peluang ini sebaiknya dan dinasihatkan untuk merancang perjalanan dengan sewajarnya untuk mengurangkan kesesakan melalui panduan termasuk mengadakan jadual waktu perjalanan atau travel time advisory (TTA).
“Saya mewakili Kementerian Kerja Raya, Lembaga Lebuhraya Malaysia dan semua Syarikat Konsesi Lebuh Raya memohon supaya semua pengguna memandu dengan berhemah mematuhi semua peraturan jalan raya yang telah ditetapkan,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















