KUALA LUMPUR – Para penduduk terutama berhampiran kawasan hutan di Ukay Perdana di sini digemparkan dengan bunyi ngauman harimau sejak kebelakangan ini.
Malah ada mendakwa Pak Belang itu pernah tersesat dan memasuki kawasan perkuburan di Ukay Perdana.
Difahamkan penduduk sudah membuat laporan polis kepada polis danJabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Justeru penduduk diminta berhati-hati terutama di kawasan berhampiran hutan.
Penduduk terutama penghuni Pangsapuri Sri Baiduri Ukay Perdana terdengar bunyi ngauman Pak Belang dari kawasan yang sama sebelum ini.
Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim dilaporkan berkata, sepasukan anggota Perhilitan Daerah Hulu Langat bersama anggota polis dari Balai Taman Melawati melakukan operasi khas semalam.
Menurutnya, lima anggota Perhilitan lengkap bersenjata dengan tiga laras shotgun dikerahkan ke lokasi selepas menerima aduan penduduk yang terdengar bunyi ngauman harimau tidak jauh dari kediamannya.
Pasukan itu sendiri telah mendengar bunyi ngauman harimau sebanyak dua kali semasa membuat tinjauan di lokasi.
“Operasi menjejak haiwan pemangsa itu diteruskan dengan bantuan tiga lagi anggota Perhilitan yang tiba kemudian. Namun tiada sebarang kesan tapak kaki atau tanda kehadiran haiwan liar ditemui.
“Keadaan tanah yang dipenuhi daun kering menyukarkan pengesanan. Pasukan berkenaan dijadualkan kembali ke lokasi bagi meneruskan siasatan dan memasang perangkap kamera bagi mengesan kemungkinan kewujudan harimau di kawasan itu,” katanya.
Beliau berkata, pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan haiwan berkenaan tersesat dari habitat asal di hutan sekitar Hulu Langat susulan gangguan habitat dan kegiatan manusia berhampiran kawasan tadahan hijau.
“Susulan itu Perhilitan menasihati penduduk tidak memasuki kawasan hutan di belakang pangsapuri itu dan segera melaporkan sebarang kelibat atau bunyi mencurigakan,” katanya.
Kadir bagaimanapun berkata, siasatan masih dilakukan bagi mengenal pasti spesis harimau berkenaan sama ada ia adalah harimau belang, harimau dahan atau haiwan liar lain.
Penduduk turut dinasihati mengelak bermain di kawasan terbuka berhampiran hutan terutama anak-anak yang menggunakan padang futsal.
Penduduk juga dinasihati memastikan pintu pagar dan tingkap rumah sentiasa ditutup. – MalaysiaGazette
















