PARIS – Presiden Perancis Emmanuel Macron pada dijangka melantik Perdana Menteri baharu pada Jumaat bagi membawa negara tersebut keluar daripada kebuntuan politik.
Ia adalah satu langkah untuk menangguhkan pilihan raya baharu, buat masa ini.
Politik Perancis berada dalam keadaan buntu sejak Macron mengambil risiko tahun lalu dengan mengadakan pilihan raya mengejut yang diharapkan dapat mengukuhkan kuasanya — namun sebaliknya berakhir dengan parlimen tergantung dan peningkatan kerusi untuk parti sayap kanan.
Menurut sumber kepada AFP, Macron dijadual bertemu dengan pemimpin semua parti politik kecuali parti sayap kanan National Rally (RN) dan parti kiri radikal France Unbowed pada jam 12.30 tengah hari GMT Jumaat di istana presiden.
ARTIKEL BERKAITAN
https://malaysiagazette.com/2025/10/06/baru-27-hari-dilantik-pm-perancis-umum-letak-jawatan/
Pejabat Macron berkata beliau akan memilih calon perdana menteri menjelang petang Jumaat, selepas perdana menteri ketujuhnya, Sebastien Lecornu, meletakkan jawatan pada Isnin lalu selepas berbulan-bulan buntu berhubung bajet berhemah.
Presiden berhaluan tengah itu kini berdepan krisis domestik paling buruk sejak beliau mula berkuasa pada 2017, dan masih belum berucap kepada rakyat.
Lecornu, penyokong setia Macron, bersetuju untuk kekal dua hari lagi bagi berbincang dengan semua parti politik dan memberitahu televisyen Perancis pada Rabu malam bahawa beliau optimis kabinet baharu mampu meluluskan rang undang-undang perbelanjaan di parlimen.
Dua pendahulunya sebelum ini dijatuhkan akibat pertikaian mengenai bajet perbelanjaan, manakala barisan kabinet baharu yang diumumkannya pada Ahad lalu dikritik kerana tidak membawa pembaharuan yang mencukupi.
Lecornu, yang pernah berkhidmat tiga tahun sebagai menteri pertahanan, tidak memberi sebarang petunjuk siapa pengganti beliau.
Beliau mendakwa misinya telah selesai, namun beberapa ahli politik percaya presiden mungkin melantiknya semula — satu tindakan yang boleh menimbulkan kemarahan pembangkang dan mencetuskan undi tidak percaya sekali lagi.
Ada juga yang menyebut Jean-Louis Borloo, bekas menteri di bawah presiden berhaluan kanan Jacques Chirac dan Nicolas Sarkozy, sebagai calon berpotensi. Namun tokoh berhaluan tengah berusia 74 tahun itu pada Khamis berkata beliau tidak tahu menahu mengenainya dan langsung tidak dihubungi oleh pejabat presiden.
Adakah bekas perdana menteri berhaluan sosialis Bernard Cazeneuve calon yang sesuai? Atau mungkinkah ketua institusi audit tertinggi negara, seorang lagi tokoh sosialis bernama Pierre Moscovici, mampu memperbetulkan keadaan kewangan negara?
Lecornu berkata draf semakan bajet 2026 boleh dikemukakan kepada majlis menteri pada Isnin, iaitu tarikh akhir bagi rang undang-undang itu diluluskan parlimen sebelum hujung tahun.
Ini bermakna kabinet baharu mungkin diumumkan menjelang hujung minggu.
Pada Rabu, Lecornu mencadangkan agar sebuah kerajaan yang lebih teknokratik dibentuk, dengan ahlinya tidak mempunyai sebarang “ambisi” untuk bertanding dalam pilihan raya presiden 2027.
Krisis yang semakin meruncing ini turut menyaksikan bekas sekutu Macron mula mengkritiknya.
Bekas perdana menteri Edouard Philippe, yang juga calon berpotensi dalam pilihan raya presiden akan datang, berkata awal minggu ini bahawa Macron sepatutnya meletak jawatan selepas bajet diluluskan.
Namun Macron tetap bertegas bahawa beliau akan kekal hingga akhir penggalnya.
Marine Le Pen, ketua parti sayap kanan RN yang enggan menyertai rundingan dengan Lecornu minggu ini, berkata pada Rabu bahawa beliau akan menggagalkan semua tindakan kerajaan baharu dan akan “mengundi menentang segala-galanya.”
Parti anti-imigresen RN pimpinan Le Pen kini melihat peluang terbaik mereka untuk meraih kuasa dalam pilihan raya presiden 2027, memandangkan Macron telah pun berkhidmat dua penggal maksimum.
Le Pen sendiri dilarang bertanding selepas disabitkan dalam kes rasuah, namun timbalannya yang berusia 30 tahun, Jordan Bardella, mungkin akan menjadi calon menggantikan beliau. -AFP
















