Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2026 Malaysia MADANI di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 10 OKTOBER 2025

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju menambah 1,500 lagi unjuran tempat bagi Ijazah Sarjana Muda dalam 10 bidang pengajian di lima universiti penyelidikan antaranya undang-undang, perakaunan, ekonomi, perbankan, kewangan Islam, AI serta bahasa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pertambahan itu bagi beri ruang lebih ramai anak muda cemerlang termasuk lulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) melanjutkan pengajian di universiti penyelidikan.

Menurutnya, bagi memperkasa bidang perubatan pula, kerajaan juga bersetuju melaksanakan dua projek kerjasama awam-swasta iaitu Pembangunan Teknopolis Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaya Health Metropolis.

Selain untuk tujuan pembelajaran anak-anak, ia juga meningkatkan capaian kemudahan kesihatan moden untuk manfaat penduduk sekitar Petaling Jaya dan Kuala Lumpur.

Katanya, kerajaan bersetuju membenarkan hospital pengajar universiti awam menubuhkan tabung endowmen.

Sumbangan diterima layak mendapat potongan cukai pendapatan dan semua sumbangan yang diterima termasuk pendapatan yang terbit dari tabung dikecualikan cukai sepenuhnya.

Sementara itu, kata Perdana Menteri, bidang aeronautik diperkasa dengan peruntukan RM16 juta UniMAP akan membangunkan Air Space Sandbox di Sungai Batu Pahat, Perlis — kemudahan pertama negara bagi pengujian penerbangan altitud rendah yang kian penting dalam sektor logistik, pemetaan, pertanian pintar dan keselamatan.

UTHM—universiti di ASEAN pertama yang mempunyai lapangan terbang menyokong industri penerbangan maritim dan melahirkan juruterbang amfibia tempatan.

Anwar berkata, mobiliti rakyat bukan soal prasarana fizikal semata-mata sebaliknya ia adalah nadi yang memacu iktisad dan penghidupan rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast