JOHOR BAHRU – Seorang warga emas maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya terlibat dalam kemalangan di Jalan Bukit Impian di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, pihaknya menerima makluman mengenai kemalangan tersebut yang turut melibatkan sebuah lori pukul 11.37 pagi.
“Hasil siasatan mendapati kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux Double Cabin 2.5 MT yang dipandu warga emas tersebut datang dari arah kilometer 17 memasuki susur menghala ke Jalan Impian Emas.
“Sebaik tiba ke lokasi dipercayai kenderaan tersebut telah hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar penghadang besi pembahagi jalan dan seterusnya memasuki laluan bertentangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kenderaan pacuan empat roda itu kemudian melanggar sebuah lori jenis Isuzu yang dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 56 tahun.
Akibatnya, pacuan empat roda berkenaan terbalik ke sebelah kiri jalan.
Balveer Singah berkata, akibat kemalangan tersebut, pemandu kenderaan pacuan empat roda itu cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurutnya, pemandu lori pula hanya mengalami luka ringan pada tangan kiri dan kanan.
Kemalangan itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau membahayakan.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes berkenaan diharap dapat menyalurkan maklumat kepada Pengawai Penyiasat Inspektor Noor Azlina Abdul Raof 013-2864878 bagi membantu siasatan,” tambahnya.- MalaysiaGazette















