Polis Diraja Malaysia (PDRM).

KUALA LUMPUR – Pasukan Polis Gerakan Am (PGA) terpaksa melepaskan lima das tembakan selepas dua kenderaan disyaki membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) bertindak agresif dan merempuh kenderaan pasukan dalam kejadian di lorong Tol Telok Panglima Garang, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi berkata, kejadian berlaku sekitar jam 4.30 pagi ketika pasukan Bahagian Task Force Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) Briged Tengah PGA bersama anggota Pos Pulau Carey sedang menjalankan pemantauan di kawasan berkenaan.

Menurutnya, pasukan mengesan dua kenderaan sebuah Toyota Fortuner dan sebuah pacuan empat roda yang dipercayai membawa beberapa warga Bangladesh.

“Ketika cuba ditahan, pemandu pacuan empat roda bertindak mengundur laju dan merempuh kereta Perodua Myvi dinaiki anggota PGA Pos Pulau Carey sehingga bahagian hadapan remuk dan tidak dapat dihidupkan.

“Pada masa sama, Toyota Fortuner turut merempuh ke arah sebuah lagi kenderaan pasukan menyebabkan dua anggota PGA melepaskan lima das tembakan ke arah tayar belakang bagi menghalang kenderaan tersebut,” katanya hari ini.

Mohd Akmalrizal berkata, kenderaan pacuan empat roda kemudiannya melarikan diri dengan memandu melawan arus, manakala Toyota Fortuner dikesan menuju ke Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE).

Beliau berkata, Toyota Fortuner tersebut ditemui kemudian ditinggalkan di bahu jalan lebuh raya dengan pintu terbuka dan tanpa penumpang.

“Tiada kecederaan dilaporkan membabitkan anggota pasukan dan usaha mengesan suspek serta warga asing yang terlibat masih diteruskan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 186 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Polis turut meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi serta menyalurkan maklumat berkaitan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-3187 2222 bagi membantu siasatan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast