Anggota bomba mengeluarkan mangsa warga nepal yang maut tersepit dalam mesin pengisar di Batu Gajah. Foto ihsan JBPM Perak.

BATU GAJAH – Seorang warga Nepal maut tersepit di dalam sebuah mesin pengisar di Kawasan Perindustrian Batu Gajah, di sini hari ini.

Mangsa berusia 36 tahun dilaporkan tersepit di dalam mesin pengisar berkenaan sewaktu melakukan kerja-kerja penyelengaraan.

Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, panggilan kejadia diterima pukul 10.29 pagi.

Menurut beliau, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Gajah digerakkan ke lokasi dan tiba pukul 10.41 pagi.

“Setibanya jentera di tempat kejadian ketua operasi dimaklumkan mangsa telah tertarik masuk ke dalam mesin tersebut yang tiba-tiba beroperasi secara automatik.

“Semasa kejadian mangsa sedang melakukan penyelenggaraan untuk mengeluarkan bahan yang tersangkut pada pengisar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shazlean berkata, mangsa telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan  yang hadir.

“Ketua operasi melaksanakan size-up seterusnya mengarahkan anggota melaksanakan kerja penyelamatan dengan membuka plat lantai mesin pengisar tersebut.

“Setelah dibuka, didapati mayat mangsa bergulung dan terbelit pada mata pengisar,” katanya.

Tambah beliau, juruteknik syarikat kemudiannya membantu menghidupkan mesin secara manual dan memusingkan mata pengisar sehingga mayat mangsa berjaya dikeluarkan sepenuhnya.

“Anggota mengangkat mayat mangsa dan menyerahkannya pada pihak Polis untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi disertai enam anggota BBP Batu Gajah itu tamat sepenuhnya pukul 12.50 tengah hari,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast