KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh mengecam tindakan pihak yang didakwa mengibarkan bendera Israel sebagai gimik persembahan dalam satu acara baru-baru ini.
Beliau menegaskan bahawa bendera rejim Zionis itu tidak layak dikibarkan di mana-mana majlis di negara ini kerana ia melambangkan kezaliman dan penindasan terhadap rakyat Palestin.
“Taraf bendera negara Israel ini hanyalah untuk dipijak dan dibakar sahaja terutama di dalam negara kita ini dan bukan untuk dikibarkan tidak kira secara gimik ataupun apa,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau mengulas mengenai penganjuran program 500 Pelayaran Solidariti Kelantan untuk Gaza anjuran bersama Komuniti Floating Market Sri Tanjung yang mendapat kecaman serta pelbagai pandangan orang ramai di media sosial apabila menampilkan sebuah bot yang mengibarkan bendera Israel.
Menurut Akmal, bendera adalah lambang kehormatan sesebuah negara, namun rejim Zionis telah hilang kelayakan untuk dihormati berikutan kekejaman yang dilakukan terhadap rakyat Gaza.
“Bendera adalah lambang kehormatan sebuah negara, maka dengan apa yang telah dilakukan oleh regim jahanam pada saudara kita di sana, mereka tidak langsung layak untuk dapat penghormatan dari kita,” katanya.
Beliau turut menggesa penganjur acara terbabit agar tampil memohon maaf secara terbuka atas tindakan mengibarkan bendera tersebut yang dianggap menghina sensitiviti umat Islam di Malaysia.
“Saya menggesa dan mendesak agar penganjur yang dikatakan mengibarkan bendera isewel sebagai gimik persembahan itu boleh meminta maaf atas salah keterlanjuran,” tegasnya.
Katanya lagi, Pemuda UMNO tidak akan berkompromi dengan mana-mana tindakan yang boleh dianggap sebagai memberi penghormatan kepada rejim yang menindas rakyat Palestin.
“Tidak kira siapa atau apa sekalipun, kita tidak pernah langsung dan tidak akan langsung memberikan penghormatan pada regim laknatullah ini!!!” ujar beliau.
Terdahulu, penganjur program iaitu Pertubuhan Anak Muda Bangkit Malaysia menegaskan tindakan mereka mengibarkan bendera Israel ketika Program 500 Pelayaran Solidariti Kelantan untuk Gaza hanya bagi tujuan lakonan semula kejadian yang berlaku terhadap sularelawan Global Sumud Flotila (GSF).
Pengarah Program, Mohd Khairul Hafiz Hassan dilaporkan berkata, bendera itu juga hanya dikibar di pentas terapung di Lembah Sireh untuk lokonan atau simulasi bagi memberi kefahaman yang jelas kepada pengunjung. – MalaysiaGazette
















