KUALA LUMPUR – Hampir 1,000 warga Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bersama ahli keluarga membanjiri Taman Botani Negara Shah Alam (TBNSA) semalam sempena penganjuran Program Agro Family Fun Run Tahun 2025 dan sambutan Hari Sukan Negara (HSN) serta Hari Keluarga Peringkat KPKM.
KPKM dalam kenyataan memaklumkan, program berbentuk santai dan kekeluargaan itu mendapat sambutan luar biasa daripada warga kementerian yang hadir seawal pagi.
Katanya, acara dimulakan dengan sesi senaman memanaskan badan sebelum disusuli dengan flag-off larian fun run yang disempurnakan oleh Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Seri Isham Ishak.
“Selain aktiviti larian, program turut dimeriahkan dengan pelbagai acara tradisional dan mencabar seperti Sukan Rakyat dan Sukan Bendang antaranya boling kelapa, lari dalam sarung, tarik tali, gagau ikan, lumba tiga kaki, perah air dalam botol, lompat kangaro dan tiup gula-gula dalam tepung yang mengundang sorakan dan gelak tawa para peserta,” menurut kenyataan itu.
Katanya lagi, sebagai simbolik perasmian kepada Kejohanan Sukan Madani Kelab Tani Tahun 2025, Isham turut menyerahkan bendera kejohanan kepada wakil lima rumah sukan Jingga, Kuning, Merah, Biru dan Hijau yang diiringi dengan lagu rasmi rumah masing-masing.
Ujarnya, kejohanan itu dijadual berlangsung sepanjang Oktober dan November tahun ini.
Program kemudian diakhiri dengan sesi penyampaian hadiah dan cabutan bertuah yang menjadi kemuncak dan penutup acara yang cukup meriah.
Penganjuran program seperti ini bukan sahaja bertujuan untuk menyemarakkan gaya hidup sihat dalam kalangan warga KPKM malah turut menjadi platform mempererat hubungan kekeluargaan dan ukhuwah antara warga kementerian, jabatan serta agensi di bawahnya. – MalaysiaGazette
















