KUANTAN – Operasi BAS.MY dijangka akan bermula di Kuantan 15 Disember ini menjadikan lokasi ke sembilan pelaksanaanya di negara ini.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Ir. Razali Kassim berkata, pengendali operasi pengangkutan awam itu diterajui oleh Sanwa Travel (M) Sdn Bhd. dengan nilai kontrak RM73 juta dalam tempoh lima tahun.
”Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-Henti atau Stage Bus Service Tranformation (SBST) merupakan inisiatif bagi menambahbaik perkhidmatan bas dari aspek kemampanan serta meningkatkan penggunaan pengangkutan.
”Pada tahun 2024, jenama sedia ada perkhidmatan bas program SBST iaitu myBAS dijenamakan semula kepada BAS.MY.
”Keunikan sistem pengangkutan ini kepada memperkenalkan perjalanan tanpa had bernilai RM50 bagi perjalanan kepada 30 hari khas untuk warganegara Malaysia.” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Jelas Ir. Razali, ia dikira berdasarkan jumlah 30 hari bagi penentuan tempoh had penggunaan selain memperkenalkan kad konsesi dan tambang percuma.
Mengulas lanjut, perkhidmatan bagi empat golongan membabitkan warga emas, orang kelainan upaya (OKU), pelajar sekolah dan mahasiswa itu hanya membuat pendaftaran kad konsesi dengan bayaran RM10.
”Mereka yang layak memohon ialah warga emas usia berusia lebih 60 tahun, pemegang kad OKU, pelajar sekolah berusia tujuh hingga 17 tahun dan mahasiswa yang masih mengikuti pelan pengajian.
”Selain itu, Aplikasi Journey Planner juga disediakan bagi merangka perjalanan dan jangkaan ketibaan destinasi dapat membantu penumpang menguruskan masa,” tambah Razali.
Katanya, sebanyak 55 buah bas baharu disediakan jenis bas midi dan mini low floor disediakan melibatkan 16 laluan di dua kawasan pihak berkuasa tempatan disediakan.
Laluan pengangkutan awam itu meliputi 3.88 juta kilometer setahun dengan kadar kekerapan 20 minit bagi laluan feeder, 30 hingga 60 minit laluan utama dan 90 hingga 150 minit laluan permintaan sederhana.
Untuk rekod, Program SBST telah dilaksana di Semenanjung Malaysia sejak tahun 2015 dan sehingga kini sebanyak lapan bandar utama telah menerima manfaat perkhidmatan bas berhenti-henti SBST.
Melalui Belanjawan 2024, perluasan SBST bakal dilaksana di Kuantan, Kota Bharu dan Kota Setar.
Kerajaan memperuntukkan RM150 juta setahun bagi memastikan perkhidmatan BAS.MY terus tersedia dengan efisien. – MalaysiaGazette
















