PUTRAJAYA – Tindakan tegas membanteras rasuah dan penyeludupan tidak disenangi golongan tertentu yang selama ini hidup mewah melalui sistem lama yang penuh ketirisan dan kronisme.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan mesti berani keluar daripada sistem lama yang membelenggu negara dengan pelbagai bentuk kebocoran, salah guna kuasa dan kebergantungan kepada amalan tidak berintegriti.
“Mana mungkin orang yang rasuahnya berbilion ringgit senang dengan kita lancarkan tegas anti-rasuah atau orang yang terlibat dalam sindiket penyeludupan senang dengan itu?
“Tidak!. Ataupun yang kaya hidup dengan subsidi akibat daripada harga kawalan ayam dan telur, dia tidak akan senang,” katanya pada perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi bulan Oktober, di sini, hari ini.
Hadir sama adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Menurut Anwar, hasil ketegasan kerajaan dalam membanteras kebocoran dan penyeludupan, negara berjaya menyelamatkan RM15.5 bilion dalam tempoh dua tahun hasil daripada tindakan penguatkuasaan yang lebih bersepadu melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan agensi-agensi lain.
Tambah beliau, sindiket penyeludupan dan rasuah tidak akan dapat berakar lama tanpa perlindungan dalaman daripada pegawai tertentu, termasuk mereka yang mempunyai pengaruh dalam pentadbiran terdahulu.
Sementara itu, Anwar berkata, badan penguatkuasaan diberi jaminan untuk bebas mengambil tindakan terhadap perasuah biarpun mereka membabitkan orang kenamaan.
Jelas Perdana Menteri, beliau akan mempertaruhkan apa saja untuk mempertahankan tindakan yang diambil penguat kuasa terhadap perasuah demi kepentingan negara namun tindakan yang diambil itu perlu mempunyai bukti dan tiada penganiayaan berlaku. – MalaysiaGazette
















