KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditahan kerana menunggang motosikal secara cuai dan menumbuk seorang anggota polis dalam kejadian di Taman Gembira, Klang, 6.30 pagi ini.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Ramli Kasa berkata, lelaki tempatan berusia 28 tahun itu didapati mempunyai satu rekod dadah lampau.
Menurut beliau, ketika kejadian suspek telah menunggang motosikal jenis Modenas Kris secara melulu sehingga bergesel dengan sebuah kereta Toyota Rush yang dipandu seorang lelaki berusia 55 tahun.
Ketika pemandu kereta berkenaan berhenti untuk memeriksa kerosakan yang dialami, berlaku pertengkaran mulut dan suspek membaling satu tin arak kepada pengadu namun berjaya dielak.
“Pengadu kemudiannya menghubungi pihak polis untuk meminta bantuan.
“Apabila suspek perasan kehadiran kereta peronda, dia cuba melarikan diri menggunakan motosikal dan hampir terlanggar pengadu. Berlaku pergelutan semasa pihak polis cuba membuat tangkapan dan suspek telah menumbuk seorang anggota polis di bahagian muka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Ramli, suspek akhirnya berjaya ditangkap manakala motosikalnya dirampas untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 279/353 Kanun Keseksaan atas kesalahan menunggang motosikal secara gopoh atau cuai di jalan awam serta kesalahan menggunakan kekerasan terhadap penjawat awam yang memperuntukkan hukuman penjara selama dua tahun atau denda.
Suspek kini direman tiga hari selepas perintah reman dibenarkan Majistret Mahkamah Klang, hari ini.
Pihak polis menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian tersebut untuk hadir ke balai polis berdekatan atau menghubung IPD Klang Selatan di talian 03-33762222 bagi membantu siasatan. -MalaysiaGazette















