Tareq al-Barghouthi yang berada dalam tahanan Israel selama 22 tahun akhirnya dibebaskan.

TEBING BARAT – Tareq al-Barghouthi yang dipenjara selama 22 tahun oleh Israel akhirnya kembali ke pangkuan keluarga selepas dibebaskan hari ini susulan fasa pertama perjanjian gencatan senjata di antara Israel dan Hamas.

Menerusi video yang tular di media sosial, Tareq dan keluarganya dilihat menangis kegembiraan dan berpelukan bagi meraikan hari yang paling istimewa ini.

Tareq yang berasal dari Beit Rima, utara Ramallah sebelum ini dijatuhi hukuman penjara seumur hidup.

Bagaimanapun, hari ini beliau antara ribuan tahanan Israel akhirnya dibebaskan sebagai tukaran kepada pembebasan 20 rakyat Israel yang berada di bawah tahanan Hamas.

Menurut laporan, seramai 1,968 tahanan Palestin, termasuk 250 yang dijatuhi hukuman penjara seumur hidup akan dibebaskan di bawah perjanjian gencatan senjata itu.

Terdahulu, media Anadolu Ajansi melaporkan, Pejabat Media Tahanan Palestin yang dikendalikan Hamas memaklumkan bahawa bas membawa tahanan yang dibebaskan telah tiba di bandar Beitunia di Tebing Barat selepas berlepas dari Penjara Ofer, di barat Ramallah.

Manakala di Gaza pula, AFP melaporkan beberapa buah bas yang membawa tahanan yang dibebaskan Israel sebagai tukaran kepada tebusan Hamas, selamat tiba di Khan Younis, Bandar Gaza.

Katanya, ribuan orang berkumpul untuk menyambut tahanan-tahanan tersebut sambil bersorak kegembiraan dan mengibarkan bendera Palestin serta Hamas. -AGENSI

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast