Seramai 11 kru termasuk seorang tekong warga Indonesia berusia antara 23 hingga 52 tahun ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang pada malam semalam bersama muatan lebih kurang 7,500 kilogram disyaki bijih timah hancur

KUANTAN –  Seramai 11 kru termasuk seorang tekong warga Indonesia ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang bersama sebuah bot di kedudukan kira-kira 1.5 batu nautika tenggara Pulau Tioman pada jam 11.40 malam semalam.

Kesemua yang ditahan berusia antara 23 hingga 52 tahun, berada di atas bot berkenaan gentian kaca tanpa nombor pendaftaran dipercayai membawa barangan import tidak berkastam iaitu bijih timah hancur

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, kejayaan tersebut hasil maklumat risikan yang disalurkan kepada pasukan rondaan Maritim Malaysia ketika melaksanakan OP MAKMUR, OP TIRIS dan OP MARDOF.

”Menyedari kehadiran bot ronda Maritim Malaysia, bot berkenaan bertindak melarikan diri menuju ke Pulau Tioman sebelum berjaya dipintas selepas kejar-mengejar selama lebih kurang 55 minit.

”Hasil siasatan awal mendapati, bot tersebut dipercayai berasal dari PulauSarang, Batam, Indonesia dan cuba menyeludup masuk muatan kargo ke perairan negara,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Kesemua mereka ditahan bersama bot dan muatan kira-kira 7,500 kilogram disyaki bijih timah hancur yang disusun di atas dek bahagian tengah bot dibawa ke Jeti Pos Maritim Teluk Gading untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia bagi siasatan lanjut.

”Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dianggarkan berjumlah RM900,000.

”Bot berkenaan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Kastam 1967 kerana cubaan mengimport atau mengeksport barang tidak berkastam, serta di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.

Maritim Malaysia akan terus memperkukuh kawalan sempadan maritim negara melalui risikan bersepadu dan rondaan berterusan bagi memastikan keselamatanserta kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara.

Maritim Malaysia menyeru orang ramai agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau kejadian kecemasan di laut melalui Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-571 7345 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast