Ketua AMK Johor
Faezuddin Mohd Puad

JOHOR BAHRU – Pemecatan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan serta penggantungan keahlian Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengakibatkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terus bergolak.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Faezuddin Puad berkata, tindakan tersebut dilihat sebagai proses pembersihan parti secara dalaman membabitkan mereka yang tidak sehaluan.

“Wan Saiful sebelum ini lantang mengkritik kepimpinan Datuk Seri Azmin Ali dan menuduh wujud gerakan kumpul akuan berkanun (SD) untuk menukar pucuk pimpinan parti.

“Lebih panas, beliau mendakwa memiliki maklumat dalaman hubungan pemimpin Bersatu dengan parti tertentu serta penerimaan jutaan ringgit di mana ini satu dakwaan yang cukup berat.

“Wan Fayhsal pula mempersoalkan integriti lembaga disiplin kerana katanya ada konflik kepentingan keluarga dalam kalangan panel yang membuat keputusan.

“Apa yang berlaku kepada Wan Saiful dan Wan Fayhsal bukan sekadar tindakan disiplin namun isyarat bahawa dalam Bersatu, siapa yang bersuara, pasti akan disenyapkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Lembaga Disiplin Bersatu hari ini memecat keahlian Wan Saiful serta menggantung keahlian selama satu penggal Wan Ahmad Fayhsal berhubung isu SD yang dikaitkan dengan usaha mendesak pengunduran presiden parti itu sebelum ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, lembaga disiplin itu memaklumkan tindakan pemecatan keahlian turut dikenakan ke atas empat lagi ketua bahagian parti.

Empat lagi pemimpin akar umbi Bersatu yang turut berdepan tindakan pemecatan adalah Mohd Azrudin Md Idris (Hang Tuah Jaya); Mohd Faizal Asmar (Pengerang); Mohd Fadhli Ismail (Ipoh Timur) serta Mohd Isa Mohd Saidi dari Bahagian Ampang.

Bagaimanapun mereka yang didapati bersalah melanggar disiplin parti dan dijatuhi hukuman berhak mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan untuk pertimbangan dalam tempoh 14 hari.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast