KUANTAN – Seorang warga emas berputih mata apabila mengalami kerugian sebanyak RM535,758 gara-gara ingin menebus hadiah berupa berlian di Rompin.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa yang merupakan pesara syarikat swasta terperdaya dengan tawaran hadiah palsu.
”Pada 1 September 2025, mangsa seorang wanita tempatan tersebut menerima panggilan telefon daripada individu yang mengaku sebagai wakil syarikat Ali Baba Group Holding Limited.
”Individu tersebut memaklumkan bahawa mangsa telah memenangi tempat kedua dalam ‘Jamuan Penghargaan Pelanggan’ syarikat berkenaan.
Menurutnya mangsa berusia 65 tahun telah ditawarkan hadiah berupa berlian dan diberi pilihan untuk menukarkannya kepada wang tunai sebanyak RM205,000.
Mangsa kemudian bersetuju dan diminta membuat bayaran deposit sebanyak RM6,150 bagi tujuan penebusan hadiah tersebut, ujarnya.
Susulan itu katanya, mangsa telah membuat dua kali transaksi ke akaun yang diberikan oleh suspek yang terus memperdayakan mangsa dengan pelbagai alasan untuk membuat bayaran tambahan.
”Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu setelah tidak menerima sebarang hadiah atau wang tunai seperti dijanjikan,” tambahnya.
Kerugian yang dialami mangsa merupakan hasil wang simpanan sendiri serta pinjaman daripada ahli keluarga, katanya. – MalaysiaGazette
















