Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar

SHAH ALAM – Pelajar lelaki berusia 14 tahun yang disyaki menikam seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah di Petaling Jaya, semalam direman tujuh hari sehingga 21 Oktober ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, ia bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Siasatan dijalankan secara menyeluruh meliputi rakaman keterangan saksi-saksi kejadian, semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta penilaian latar belakang kedua-dua pelajar terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, pagi ini.

Dalam pada itu, kata Shazeli, setakat ini sebanyak 57 rakaman percakapan saksi telah direkodkan melibatkan pelajar, guru, ahli keluarga serta wakil kaunselor sekolah.

“Siasatan awal mendapati tiada pihak ketiga terlibat, dan hasil siasatan juga menunjukkan suspek dan mangsa tidak mempunyai sebarang hubungan sebelum kejadian,” jelasnya.

Shazeli menegaskan, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti motif sebenar insiden tragik berkenaan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast