Karen Kasturi

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) digesa tampil dengan tindakan segera dan berkesan bagi menangani krisis sosial serta keselamatan pelajar susulan tragedi yang berlaku di sekolah baru-baru ini.

Exco Majlis Pimpinan Wanita Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Karen Kasturi berkata, kejadian tragik melibatkan pelajar bukan semata-mata isu disiplin tetapi mencerminkan tekanan sosial, emosi dan keluarga yang semakin menekan anak-anak hari ini.

Menurutnya, sebagai kementerian yang bertanggungjawab terhadap perlindungan kanak-kanak dan kesejahteraan sosial, KPWKM tidak boleh terus berdiam diri apabila kesejahteraan pelajar semakin tergugat.

“Diam bukan pilihan. KPWKM mesti tampil ke hadapan dengan langkah intervensi psikososial, sokongan trauma dan pemulihan keluarga yang digerakkan segera, bukan hanya selepas tragedi berlaku,” katanya dalam kenyataan.

Karen berkata, pendekatan pencegahan berterusan perlu dilaksanakan di semua peringkat sekolah dan komuniti bagi memastikan kesejahteraan pelajar terpelihara.

Beliau turut menggesa supaya KPWKM memperkukuh kerjasama strategik dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi menangani isu buli, keganasan dan tekanan emosi pelajar secara holistik melalui gabungan pendidikan, kaunseling dan sokongan komuniti.

“Apabila kedua-dua kementerian ini berganding bahu, kita bukan sahaja mencegah tragedi tetapi menyembuh dan membina semula sistem sokongan sosial yang berperikemanusiaan serta berpaksikan empati,” ujarnya.

Karen turut menegaskan, KPWKM perlu memimpin naratif perlindungan anak-anak dan institusi keluarga di Malaysia secara lebih proaktif.

“Masa depan bangsa bergantung kepada sejauh mana kita berani bertindak hari ini,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast