PUTRAJAYA – Pengasas Sapura Holdings Sdn. Bhd., Tan Sri Shamsuddin Abdul Kadir memohon perintah Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, untuk mengesahkan pemberian hibah melibatkan 14.8 juta unit saham syarikat kepada dua anaknya, 28 tahun lalu.
Kedua-dua anaknya, Tan Sri Shahril Shamsuddin, 64, selaku defendan pertama dan Datuk Shahriman Shamsuddin, 56, yang dinamakan sebagai defendan kedua masing-masing memperoleh pegangan 14.8 juta unit saham pada 1997.
Shamsuddin, 94, turut memohon mahkamah membatalkan pemberian hibah kepada Shahril yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sapura Group, atas faktor peribadi.
Pada masa yang sama, Shahril membantah permohonan bapanya (plaintif) untuk membatalkan pemberian hibah tersebut.
Pada prosiding hari ini, peguam-peguam syarie Datuk Shamsuriah Sulaiman dan Suhaimi Saad mewakili Shamsuddin manakala Dr. Mohd. Rafie Shafie mewakili Shahril dan Fakhrul Azman Abu Hasan mewakili Shahriman.
Dalam butiran tuntutannya, Shamsuddin menyatakan, beliau telah membuat majlis hibah pada 7 November 1997 di Bangunan Sapura, Ulu Klang, dekat sini, untuk menghibahkan secara lisan saham-saham miliknya di syarikat Sapura Holdings dan percaya rukun-rukun hibah telah disempurnakan mengikut hukum syarak.
Tuntutan yang difailkan pada 2 September lalu menyatakan saham-saham syarikat tersebut milik mutlak plaintif selaku pemberi hibah pada masa material sebelum dipindah milik dan didaftarkan atas nama defendan pertama dan kedua.
Oleh itu, plaintif memohon mahkamah membenarkan permohonannya untuk mengesahkan hibah tersebut selaras dengan peruntukan Seksyen 46(2)(b)(vi) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan 1993).
Plaintif memohon pengesahan hibah kepada defendan masing-masing iaitu sebanyak 14.8 juta unit saham biasa bernilai RM1 setiap satu, sah dan menurut hukum syarak.
Sementara itu, dalam pernyataan tuntutan terpinda bagi membatalkan hibah, Shamsuddin menyatakan, beliau telah membuat satu deklarasi bertulis bertarikh 25 Jun lalu untuk menarik balik dan membatalkan hibah kepada Shahril serta melafazkannya di hadapan saksi-saksi.
Plaintif memohon defendan menandatangani dan memulangkan semua suratcara pemindahmilikan bagi saham-saham yang telah dihibahkan sebanyak 14.8 juta unit saham biasa bernilai RM1 satu saham kepada plaintif berdasarkan kepada Seksyen 105 Akta Syarikat 2016 (Akta 777), dalam tempoh 30 hari daripada tarikh perintah mahkamah.
Setiausaha Syarikat Sapura Holdings atau Pendaftar Syarikat di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) hendaklah mendaftarkan semua suratcara pemindahmilikan saham-saham itu atas nama plaintif dalam masa 30 hari dari tarikh penerimaan semua suratcara pemindahmilikan saham-saham tersebut.
Menurut laporan media pada 31 Oktober tahun lalu, Shahriman meletak jawatan sebagai pengarah urusan hartanah dan penerbangan Sapura Resources Bhd. berkuat kuasa serta merta.
Pada prosiding pengurusan kes hari ini, Mohd. Rafie memaklumkan, pihaknya menerima notis tuntutan daripada pihak pemohon pada Isnin lalu.
Ujarnya, defendan pertama akan memfailkan permohonan untuk membatalkan permohonan bapanya atas alasan isu pemberian hibah yang dibangkitkan berlaku hampir 30 tahun lalu.
“Kami berpendirian, tiada kausa tindakan dalam permohonan ini untuk membatalkan pemberian hibah itu. Kami mohon tempoh tiga hingga empat minggu untuk memfailkan permohonan,” ujarnya.
Sementara itu, Fakhrul Azman berkata, pihaknya juga akan memasukkan pembelaan bagi menyokong permohonan pengesahan hibah tersebut kerana plaintif mempunyai hak untuk mengesahkan hibah kerana pemberian dibuat semasa hidup.
Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Niana Nazahar kemudian menetapkan 18 November ini untuk pengurusan kes.
Sementara itu, Suhaimi ketika ditemui wakil media di luar mahkamah memberitahu, prosiding hari ini bagi memaklumkan perkembangan penyerahan notis tuntutan saman.
Ujar beliau, penyata tuntutan diserahkan kepada defendan pertama dan kedua pada 13 Oktober dan 3 Oktober masing-masing.
“Hibah itu merupakan pegangan 14.8 juta saham Sapura Holdings setiap seorang bernilai RM1 setiap satu. Permohonan untuk membatalkan penyerahan hibah hanya melibatkan defendan pertama atas alasan peribadi.
“Pemberian hibah daripada ibu bapa, nenek boleh ditarik balik meskipun hibah sudah diserahkan dan dokumen telah ditandatangani kerana ia kuasa mutlak mereka jika alasan berbentuk peribadi,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















