KUALA LUMPUR – Trend peningkatan kes penipuan dalam talian atau scam di negara ini semakin membimbangkan apabila 47,854 kes dengan jumlah kerugian RM1.919 bilion direkodkan setakat September lalu.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, jumlah kes meningkat sebanyak 12,486 berbanding 35,368 pada 2024 yang melibatkan kerugian RM1.574 bilion.
“Ini menggambarkan begitu banyak mangsa terbabit dan melihat kepada situasi ini, kerajaan tegas untuk melaksanakan pelbagai langkah termasuk menguatkuasakan undang-undang bagi menangani jenayah ini,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) yang ingin tahu langkah tegas kerajaan dalam memerangi jenayah penipuan dalam talian yang menunjukkan trend peningkatan amat membimbangkan.
Selain itu, beliau berkata kerajaan meminda Kanun Tatacara Jenayah dengan menambah peruntukan yang membolehkan polis menyita akaun bank atau instrumen kewangan dipercayai digunakan dalam aktiviti jenayah sekali gus wang yang dicuri tidak dapat dipindahkan penjenayah.
Dalam pada itu, Shamsul Anuar berkata kerajaan sedang menggubal rang undang-undang berkaitan jenayah siber bagi memperkukuh kerangka perundangan negara dalam mendepani ancaman yang semakin kompleks. – BERNAMA















