KUALA LUMPUR – Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) melakar sejarah apabila dipilih bekerjasama dengan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Institut Kemajuan Desa (INFRA) untuk menganjurkan Majlis Makan Malam Penutup (Networking Dinner) baru-baru ini.
Penganjuran sempena program ASEAN Multistakeholder Dialogue ASEAN Master Plan on Rural Development dan ASEAN+3 Forum on Women and Digitalisation 2025 sempena Malaysia sebagai Kepengerusian ASEAN.
Naib Canselor UPTM, Prof. Madya Dr. Sharifah Syahirah Sy. Shiekh berkata, penglibatan universiti itu dalam acara serantau berprestij membuktikan kesungguhan UPTM untuk memposisikan dirinya sebagai institusi pendidikan tinggi yang berpaksikan nilai global, inklusif dan berdaya saing di peringkat ASEAN dan Asia.
Menurutnya, melalui kolaborasi dengan KKDW dan INFRA, UPTM turut memanfaatkan peluang untuk mempamerkan kepakaran akademik, kemahiran pelajar, dan inisiatif penyelidikan yang menyokong pembangunan mampan komuniti serantau.
“Penganjuran majlis ini turut menjadi platform penting bagi UPTM mengukuhkan kedudukan sebagai rakan strategik serantau dalam bidang akademik dan profesional khususnya dalam membina jaringan kolaborasi dengan universiti, agensi kerajaan dan sektor industri di peringkat ASEAN dan Asia.
“Ia sejajar dengan aspirasi UPTM untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja berilmu dan berkemahiran, malah mempunyai daya fikir antarabangsa dan semangat kepimpinan global,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sharifah Syahirah menambah, UPTM menzahirkan penghargaan kepada KKDW dan INFRA atas kepercayaan yang diberikan untuk menjadi hos bersama acara berimpak tinggi ini.
“Pihak universiti percaya sinergi seperti ini akan terus memacu kejayaan bersama dalam memperkukuh ekosistem pendidikan dan pembangunan sosioekonomi serantau pada masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, Majlis Makan Malam Penutup (Networking Dinner) itu diserikan dengan kehadiran, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang merangkap Pro-Canselor UPTM.
Bertemakan ASEAN Cultural Harmony Night: Celebrating Traditions, Strengthening Ties, majlis itu menghimpunkan lebih 200 delegasi antarabangsa daripada negara-negara ASEAN serta rakan dialog ASEAN+3 (China, Jepun dan Korea Selatan).
Acara itu merupakan kemuncak kepada siri forum dan dialog serantau yang dianjurkan di bawah payung KKDW dan INFRA, dengan UPTM sebagai rakan hos akademik dan pelaksana strategik. – MalaysiaGazette
















