PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan sedang meneliti cadangan untuk melarang penggunaan telefon pintar dalam kalangan pelajar bawah umur 16 tahun.
Katanya, pengaruh media sosial dan permainan dalam talian kadangkala membawa kepada tindakan luar jangka oleh pelajar dan disebabkan itu penelitian sedang dilakukan berhubung perkara tersebut.
“Langkah ini telah dilaksanakan di beberapa negara dan kita sedang kaji model yang sesuai untuk negara ini. Peranan ibu bapa juga amat penting dalam hal ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui selepas menunaikan Solat Jumaat di Surau Jannatul Firdaus, Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Seruling, Presint 5 di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata, isu berkaitan pendidikan, disiplin pelajar dan kebimbangan ibu bapa menjadi fokus utama Mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan oleh beliau hari ini.
Ujarnya, perbincangan panjang telah diadakan melibatkan pelbagai aspek, khususnya berkaitan keselamatan sekolah, pengaruh media sosial serta keperluan meneliti semula kandungan pendidikan.
“Seperti yang saya nyatakan semalam, mesyuarat hari ini memberi tumpuan yang besar kepada isu pendidikan dan masalah disiplin pelajar. Ramai dalam kalangan keluarga, ibu bapa dan pelajar sendiri meluahkan kebimbangan mereka.
“Tindakan segera tidak boleh diambil secara terburu-buru. Ia memerlukan penelitian yang mendalam,” tambahnya.
Jelas Anwar, beberapa langkah awal telah dikenal pasti termasuk memperkukuh aspek keselamatan di sekolah dengan kerjasama pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Kita sudah bincang dan bersetuju bahawa pemantauan keselamatan di sekolah tidak boleh diletakkan di bahu guru semata-mata. Pihak polis dan KDN akan memainkan peranan yang lebih aktif,” ujarnya.
Anwar turut menyentuh isu serius seperti kes buli berterusan dan insiden pelajar menyerang guru yang menuntut pendekatan tegas dan menyeluruh.
“Ini bukan soal sekadar tindakan disiplin tetapi kita mahu mengangkat semula nilai dan akhlak dalam sistem pendidikan kita. Pendidikan perlu cemerlang tetapi dengan penekanan kepada nilai Madani,” tegasnya.
Mengulas kandungan pendidikan agama termasuk di sekolah tahfiz dan institusi pengajian agama, beliau berkata, kerajaan juga sedang meneliti penyebaran fahaman tertentu yang dibimbangi bercanggah dengan nilai-nilai murni.
“Ada pelajar yang terdedah kepada fahaman yang tidak sesuai walaupun institusi itu sendiri tidak diharamkan. Maka kandungan pendidikan ini juga sedang diteliti,” katanya lagi.
Anwar menjelaskan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek akan memberikan penjelasan lebih terperinci dalam masa terdekat termasuk libat urus dengan pihak sekolah, PIBG dan masyarakat.
“Saya harap semua pihak termasuk guru besar, pengetua, guru dan ibu bapa dapat memberikan kerjasama sepenuhnya. Kadangkala masalah timbul kerana salah faham atau keutamaan yang tidak selari,” katanya. – MalaysiaGazette
















