BUTTERWORTH – Keusahawanan muncul sebagai pilihan utama dalam kalangan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) apabila lebih 60 peratus daripada mereka cenderung menceburi bidang berkenaan selepas menamatkan perkhidmatan.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, trend itu mendorong Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) memberi tumpuan kepada latihan keusahawanan dan pengurusan kewangan bagi memastikan veteran terbabit mampu berdikari daripada segi ekonomi.
“Kita mahu mereka dibekalkan pengetahuan supaya dapat meningkatkan pendapatan dan mengurus perniagaan dengan lebih teratur.
“Bidang yang diceburi termasuk makanan dan minuman, peruncitan serta pembuatan perabot, yang kini turut memerlukan kefahaman dalam aspek digital,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Jelajah Wira LTAT 2025 Edisi Utara di Pangkalan Udara Butterworth di sini hari ini.
Pada majlis itu, beliau turut menyerahkan sijil kepada peserta Program Pemerkasaan Usahawan Wira LTAT 1.0 dan menerima pendaftaran baharu untuk fasa kedua.
Adly berkata, seramai 29 peserta berjaya menamatkan latihan intensif enam bulan di bawah program berkenaan dan menunjukkan perkembangan positif.
“Mereka mencatat peningkatan purata pendapatan lebih 200 peratus selain kemajuan dari segi celik kewangan, kemahiran perniagaan dan daya saing di pasaran.
“Kesan lain yang dapat dilihat ialah keyakinan diri yang lebih tinggi, peningkatan kesejahteraan keluarga serta semangat keusahawanan yang lebih kukuh. Ia membuktikan model ini efektif dan mampan,” katanya. – MalaysiaGazette















