Hajiji Noor

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Sabah berharap Kerajaan Persekutuan akan menunaikan tanggungjawabnya seperti yang telah dipersetujui semasa pembentukan Malaysia berhubung hak negeri itu terhadap pemberian geran khas.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri akan berunding dengan Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan perintah mahkamah dalam semangat kerjasama dan saling menghormati, serta memastikan hak Perlembagaan Sabah direalisasikan sepenuhnya.

Menurut beliau, dalam setiap mesyuarat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Sabah sentiasa konsisten dan tegas dalam mengemukakan tuntutan negeri itu.

KENYATAAN akhbar Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berhubung isu hak Sabah terhadap 40 peratus hasil Persekutuan.

“Kami telah memperjuangkan isu ini tanpa henti melalui setiap saluran rasmi, setiap mesyuarat MA63 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, dan melalui banyak surat rasmi yang dihantar ke Putrajaya.

“Tidak sekali pun kami membiarkan perkara ini terhenti,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan bahawa Kerajaan Persekutuan bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil Persekutuan selama hampir lima dekad.

Keputusan itu disampaikan oleh Hakim Datuk Celestina Stuel Galid yang menyifatkan pemberian khas yang dibuat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah sebagai ‘tidak sah, ultra vires dan tidak rasional’ serta melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Kes tersebut dimulakan oleh Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) pada Jun 2022, apabila badan itu memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar kegagalan Kerajaan Persekutuan menegakkan hak hasil Sabah seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, Hajiji turut melahirkan perasaan lega dengan keputusan mahkamah yang mengarahkan Kerajaan Persekutuan untuk menjalankan semakan semula terhadap geran bagi tahun-tahun yang hilang dalam tempoh 90 hari.

Menurut beliau, keputusan itu mengesahkan hak Sabah seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, khususnya di bawah Perkara 112C dan 112D.

Jelasnya, kemenangan itu juga mengiktiraf peranan penting Kerajaan Negeri Sabah yang terus mempertahankan dan menegaskan hak Perlembagaan negeri.

“Usaha kerajaan negeri dalam memperjelas rekod sejarah, termasuk “Share of Growth of Federal Revenue Derived from Sabah” dari tahun 1964 hingga 1968, telah memainkan peranan penting dalam menegaskan bahawa niat dan kesan Perkara 112C dan 112D kekal tidak berubah.

“Penerimaan bayaran interim adalah tanpa menjejaskan hak Perlembagaan negeri,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast