KUALA LUMPUR – Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan syarat kesihatan untuk menunaikan haji bagi musim 1447H/2026M.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH), Mustakim Mohamad berkata, antara syarat yang perlu dipatuhi untuk memperolehi visa adalah bebas daripada penyakit berjangkit, penyakit serius atau penyakit kronik tidak terkawal dan berupaya menjalankan ibadat haji dengan sendiri.
Jelasnya, jemaah tidak dianggap layak untuk mengerjakan ibadat haji sekiranya mengalami kegagalan buah pinggang kronik, kegagalan jantung atau penyakit jantung serius dan penyakit paru-paru kronik.
“Turut termasuk adalah penyakit hati kronik, masalah neurologi/mental yang menjejaskan fungsi kognitif/motor, warga emas dengan dementia/fizikal lemah, kehamilan berisiko tinggi, penyakit berjangkit aktif dan penyakit kanser yang sedang dalam rawatan,” katanya menerusi kenyataan.
Menurut Mustakim, pada tahun depan TH tidak lagi dibenarkan untuk membuka Pusat Rawatan di Tanah Suci.
Sehubungan itu katanya, jemaah haji yang memerlukan rawatan lanjut akan dirujuk ke hospital-hospital yang disediakan oleh Kerajaan Arab Saudi dengan bantuan pemantauan rapi pakar-pakar perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“TH juga telah merancang untuk menyediakan kemudahan kesihatan di hospital swasta Arab Saudi sekiranya perlu. TH dengan kerjasama KKM menyediakan 225 petugas kesihatan pada musim haji 1447H/2026M.
“Keperluan tahap kesihatan yang baik adalah salah satu syarat kemampuan mengerjakan haji (istito’ah) yang sentiasa ditekankan dalam resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan.
“Seperti mana syarat menerima tawaran haji sebelum ini, bakal haji perlu lulus pemeriksaan kesihatan yang dikendalikan pihak KKM,” tambahnya.
Sementara itu, beliau berkata, TH masih menyediakan klinik kesihatan di semua bangunan penginapan jemaah haji di Makkah dan Madinah.
Ujarnya, setiap bangunan akan dilengkapi dengan klinik pesakit luar dan farmasi yang dikendalikan oleh petugas kesihatan bertauliah dari KKM.
“Seperti mana tahun-tahun sebelumnya, TH sememangnya memandang serius dan mengutamakan aspek kesihatan para jemaah haji terutamanya ketika berada di Tanah Suci.
“Atas dasar itu, pada setiap tahun TH akan memperuntukkan sebahagian besar alokasi petugas Tanah Suci kepada petugas perubatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya. – MalaysiaGazette
















