KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menghubungi Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif dan pemangku Perdana Menteri Afghanistan, Mullah Mohammad Hassan Akhund bagi menyuarakan kebimbangan Malaysia terhadap peningkatan ketegangan di sepanjang sempadan kedua-dua negara.
Menerusi panggilan itu, perdana menteri menegaskan kedua-dua negara mencari penyelesaian secara damai melalui saluran diplomasi dan dialog bagi mengelakkan konflik berpanjangan yang boleh membawa kesengsaraan kepada rakyat serta menjejaskan keamanan dan kestabilan rantau Asia Selatan.
“Dalam perbualan itu, saya menekankan perlunya kedua-dua pihak mengelakkan ketegangan dan memberi keutamaan kepada usaha damai demi kepentingan bersama dan kesejahteraan serantau,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.
Pada masa sama, Anwar turut menyatakan rasa dukacita dan simpati mendalam atas musibah banjir yang melanda Pakistan serta kejadian gempa bumi yang menggegarkan timur Afghanistan baru-baru ini.
“Malaysia akan terus berdiri teguh bersama Pakistan dan Afghanistan serta komuniti antarabangsa dalam menyalurkan bantuan kemanusiaan dan memperkukuh semangat persaudaraan Islam,” katanya.
Tambah beliau, Malaysia juga menyokong sebarang inisiatif ke arah keamanan dan kestabilan serantau, termasuk rundingan damai yang sedang diusahakan di bawah kelolaan Kerajaan Qatar. – MalaysiaGazette
















