KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa menegaskan Kerajaan Madani tidak seharusnya membuat rayuan atau mencabar keputusan mahkamah yang mengiktiraf 40 peratus hak Sabah daripada hasil Persekutuan.
Sebaliknya, beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya Pas Negeri Sabah berkata, Kerajaan Persekutuan harus memikirkan bagaimana mekanisme untuk melaksanakan perintah mahkamah tersebut.
Menurutnya, perbahasan Belanjawan 2026 yang sedang berlangsung di Dewan Rakyat ketika ini juga disifatkan sebagai masa terbaik untuk ahli-ahli Parlimen mengusulkan pindaan kepada bajet dengan memasukkan peruntukan bayaran balik kepada Sabah.
“Walaupun Ketua UMNO Sabah berpandangan federal (Persekutuan) tidak perlu bayar kerana federal boleh bankrap kerananya, namun hak rakyat Sabah wajib ditunai walaupun UMNO semacam tidak bersetuju.
“Masa sudah tiba..dari #Justice4Zara kpd #justiceforsabah,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Sementara itu, Annuar turut mengingatkan supaya Kerajaan Madani tidak lagi berdolak-dalik dalam isu tersebut.
Tegas beliau, hak Sabah yang akan dikembalikan itu sekiranya diuruskan dengan kepimpinan yang baik, berintegriti, jujur dan amanah bakal mengangkat Sabah ke tahap baharu iaitu Sabah yang maju dan baik untuk Malaysia.
“Jangan pula ia jatuh kepada pemimpin kleptokrat, rasuah, serta berintegriti dan moral yang rendah,” katanya.
Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu sebelum ini memutuskan Kerajaan Persekutuan bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil Persekutuan selama hampir lima dekad.
Keputusan itu disampaikan oleh Hakim Datuk Celestina Stuel Galid yang menyifatkan pemberian khas yang dibuat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah sebagai ‘tidak sah, ultra vires dan tidak rasional’ serta melanggar Perlembagaan Persekutuan.
Kes tersebut dimulakan oleh Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) pada Jun 2022, apabila badan itu memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar kegagalan Kerajaan Persekutuan menegakkan hak hasil Sabah seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. – MalaysiaGazette
















