PEKAN – Kerajaan hari ini mengumumkan alumni Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 akan diberikan merit tambahan dalam proses pertimbangan permohonan pekerjaan di sektor awam.
Melalui merit khas itu, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) antaranya menetapkan kuota khas sebanyak 30 peratus kepada alumni PLKN 3.0 yang menduduki Penilaian Memasuki Perkhidmatan Awam (PSEE) untuk dipertimbangkan ke peringkat seterusnya.
Panglima 4 Briged (Mekanize), Datuk Wan Mohd Faizal Shahrin Wan Mohamad Fablillah berkata, ia sebagai pengiktirafan terhadap semangat patriotisme, disiplin dan nilai kepimpinan yang dipupuk melalui program tersebut.
“Merit khas ini merupakan inisiatif kerajaan yang telah digariskan untuk memberi ruang dan peluang kepada alumni PLKN mencari peluang pekerjaan selepas tamat program.
“Nilai tambah ini juga merupakan satu platform yang kita lihat boleh menarik lebih ramai menyertai PLKN pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Perbarisan Tamat Latihan Wira Muda Negara Siri 3/2025 PLKN 3.0 CLKN 2025 di Padang Kawad REjimen 505 Askar Wataniah di sini hari ini.
Antara merit tambahan lain adalah Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) mengiktiraf Sijil PLKN 3.0 sebagai dokumen sokongan dengan pemberian merit sehingga lima markah bagi penglibatan kokurikulum.
Selain itu, Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) turut menyediakan keutamaan 30% kuota temu duga kepada alumni yang melepasi tapisan asas PSEE.
Suruhanjaya Pasukan Polis (SP Polis) juga menawarkan tambahan 1 peratus merit di peringkat temu duga kepada calon PLKN 3.0 yang memenuhi syarat asas pelantikan dalam PDRM.
Manakala Majlis Angkatan Tentera Malaysia (MAT) mempertimbangkan merit khas kepada alumni PLKN 3.0 untuk pemilihan sebagai Perajurit Muda atau Pegawai Kadet tertakluk kepada syarat pelantikan dalam ATM.
Sementara itu, Anugerah Wiramuda Ulung bagi pelatih lelaki terbaik kali ini diberikan kepada Chang Xiang Zhao, 23, yang berasal dari Ipoh, Perak.
Xiang Zhao yang menyertai PLKN 3.0 secara sukalera berkata, dia terharu atas penganugerahan itu kerana ia bukan mudah untuk diperoleh.

“Setinggi-tinggi penghargaan dan hormat kepada semua jurulatih kami di sini kerana bertungkus lumus mendidik kami. Saya secara sukarela menyertai PLKN kerana berminat sejak di bangku sekolah. Di sekolah sebelum ini saya menyertai Kadet Remaja Sekolah (KRS).
“Saya tidak mendapat panggilan menyertai PLKN sebab ketika itu ia dimansuhkan. Jadi, kali ini saya rebut peluang untuk menyertai PLKN,” katanya.
Anak kedua daripada empat beradik itu memberitahu, dia baru selesai pengajian Ijazah Sarjana Muda Pendidikan di Universiti Sains Malaysia dan mahu menjadi guru Matematik atau Kimia pada masa hadapan. – MalaysiaGazette
















