PUTRAJAYA – Datuk Seri Najib Razak menegaskan di Mahkamah Tinggi hari ini, beliau tidak seharusnya didakwa terhadap penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sebaliknya pegawai-pegawai syarikat itu yang harus memikul tanggungjawab.
Bekas Perdana Menteri berkata, mereka bukan sahaja mengingkari arahan Lembaga Pengarah 1MDB, malah membuat keputusan tanpa kelulusan, melaksanakan pembayaran tidak sah berjumlah berbilion-bilion, serta menerima imbuhan wang haram.
Menurut beliau, dana berjumlah AS$1.6 bilion secara ironinya telah diselewengkan oleh Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 1MDB sendiri, Azmi Tahir.
Kata Najib, pegawai yang menerima keseluruhan AS$1 juta daripada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low adalah pegawai khasnya sendiri, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin.
Selain itu katanya, individu yang mengingkari Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dan memindahkan AS$700 juta serta tambahan AS$330 juta kepada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB ketika itu, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Ujarnya, pembida yang memiliki lukisan Picasso serta RM100 juta itu adalah peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan manakala Hazem Abdul Rahman (CEO 1MDB) merupakan pihak yang telah membayar AS$175 juta kepada sebuah syarikat palsu.
“Mereka dianggap sebagai saksi-saksi kredibel yang menentang saya, seolah-olah mereka tiada sebarang motif peribadi untuk melepaskan diri.
“Pegawai-pegawai awam yang sama telah mengaku bahawa mereka melaksanakan ‘rancangan-rancangan sulit’ serta ‘talking points’ daripada Jho Low melalui saluran tidak rasmi, dan kemudiannya menghapuskan sebahagian besar daripadanya.
“Di mahkamah, mereka menegaskan bahawa segala apa yang datang daripada Jho Low kononnya berpunca daripada saya dan bahawa segala salah laku yang telah mereka laksanakan adalah kononnya di bawah arahan saya,” ujarnya.
Bekas perdana menteri menyatakan demikian ketika membacakan kata-kata pengantar daripada kandang tertuduh sebelum pasukan pembelaan memulakan penghujahan lisan berkaitan kes penyelewengan dana 1MDB hari ini.
Najib sedang dibicarakan atas empat pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah sedang mendengar penghujahan lisan pihak pembelaan yang disampaikan oleh peguam Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin. Prosiding selama sembilan hari, bersambung esok.
Mengikut pertuduhan, bekas Ahli Parlimen Pekan itu menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan RM2.28 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi pertuduhan pengubahan haram pula antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013 di lokasi sama. – MalaysiaGazette














