KUALA LUMPUR – Siasatan awal kejadian letupan bunga api di Paya Besar, Kulim, Kedah kelmarin mendapati ia berpunca daripada pembakaran bahan letupan disyaki jenis piroteknik yang tidak dibenarkan untuk dijual kepada orang awam.
Sehubungan itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam satu kenyataan hari ini menegaskan, penjualan, pemilikan dan penggunaan bunga api atau mercun yang tidak diluluskan adalah haram di bawah Akta Bahan Letupan 1957.
Tambahnya, kes itu juga disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang mana dua suspek yang disyaki terlibat dalam pembakaran bahan letupan tanpa permit sah telah ditahan.
Ujarnya, siasatan dijalankan merangkumi aspek kecuaian, pemilikan haram serta pengendalian bahan letupan tanpa kebenaran.
“KDN memberikan amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang, termasuk penarikan semula kelulusan syarikat pengendali bunga api yang gagal mematuhi peraturan.
“Orang awam serta penganjur aktiviti keramaian diingatkan supaya mengutamakan keselamatan dan mematuhi garis panduan KDN serta PDRM,” katanya.
Insiden melibatkan bahan letupan serta bunga api itu berlaku kira-kira pukul 2.30 pagi ketika orang ramai sedang menyaksikan pertunjukan bunga api di kawasan tersebut.
Akibat letupan itu, seramai 22 mangsa cedera yang mana sebahagiannya menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang dan Hospital Kulim, manakala selebihnya menerima rawatan sebagai pesakit luar.
Sementara itu, kenyataan tersebut menambah, KDN bersama PDRM akan terus memantau situasi semasa sepanjang musim perayaan dan menyeru semua pihak agar mematuhi peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa.
“KDN kekal komited untuk memperkukuh peranan menjaga keselamatan dalam negeri, melindungi kepentingan rakyat dan memastikan ketenteraman awam sentiasa terpelihara,” katanya. – MalaysiaGazette
















