Runtuhan berlaku kira-kira jam 5 petang tadi.

BALIK PULAU – Laluan di Jalan Tun Sardon (Bukit Baru), di sini, ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan akibat runtuhan cerun dan pokok tumbang petang tadi.

Insiden yang berlaku kira-kira jam 5 petang itu menyebabkan laluan utama menghubungkan Balik Pulau dan Paya Terubong terhalang sepenuhnya susulan jalan ditimbuni tanah, batu serta pokok yang runtuh dari cerun tersebut.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan akibat kejadian berkenaan setakat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, semua pengguna jalan raya dinasihatkan menangguhkan perjalanan dan mengelak menggunakan laluan berkenaan sehingga kerja pembersihan selesai.

“Kenderaan yang masih berada di kawasan itu diminta berpatah balik dan menggunakan laluan alternatif lain,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.

Tambah Zairil, pasukan tindak balas kecemasan telah digerakkan ke lokasi bagi menilai tahap risiko serta memastikan keselamatan orang ramai terjamin.

Terdahulu, tular rakaman video kamera papan pemuka (dashcam) di media sosial yang menunjukkan kejadian runtuhan cerun itu serta sebuah kereta sempat mengelak daripada ditimpa pokok tumbang.

Semalam media melaporkan, sebanyak tujuh kejadian pokok tumbang dilaporkan di beberapa kawasan susulan hujan lebat dan angin kuat yang melanda negeri ini.

Tiga kejadian berlaku di Bayan Lepas, dua di Balik Pulau dan masing-masing satu di Paya Terubong serta Teluk Air Tawar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast