Datuk Ir. Razali Kassim

CAMERON HIGHLANDS – Pengusaha ladang atau kebun sayur di negeri Pahang diseru mengamalkan sistem Amalan Pertanian Baik (APB) dalam pengurusan tanaman di negeri ini.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Ir. Razali Kassim berkata, sistem pengurusan sumber pertanian yang lestari untuk meningkatkan produktiviti, menghasilkan makanan selamat dan berkualiti, serta menjaga kebajikan pekerja dan alam sekitar.

“la melibatkan pendekatan seperti pusingan tanaman, penggunaan tanaman penutup, pengurusan tanah yang teliti, dan Pengurusan Perosak Bersepadu (IPM), di Malaysia, skim pensijilan myGAP (Malaysia Good Agricultural Practices) mengiktiraf ladang yang mengamalkan APB.

“Di daerah Cameron Highlands mencatatkan sebanyak 298 ladang yang telah dipersijilkan MyGAP,” selepas Program Libat Urus Kawalan Racun Perosak Dalam Sayur Dan Buah di negeri Pahang di Cameron Highlands, hari ini.

Menurutnya, antara amalan penting di dalam Amalan Pertanian Baik (APB) ialah mendaftarkan ladang atau kebun yang diusahakan dengan Jabatan Pertanian atau agensi berkaitan.

“Sentiasa gunakan racun perosak berdaftar dan dibenarkan sahaja. Jangan sekali-kali membeli dan menggunakan racun haram atau yang tidak mempunyai label berdaftar dan pekebun perlu mematuhi arahan sert panduan pada label; termasuk dos, cara bancuhan dan kaedah semburan.

“Tempoh pra-tuai mesti dipatuhi. Jika label menyatakan tujuh hari sebelum tuai, maka jangan tuai sebelum cukup tujuh hari,” katanya.

Program berkenaan dilaksanakan dengan tujuan untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan berkaitan kepentingan kaedah penggunaan racun perosak yang betul di dalam industri pertanian terutama di kalangan pengusaha ladang atau kebun sayur.

Tambahnya, selain menggunakan peralatan perlindungan diri (PPE) seperti sarung tangan, topeng muka, baju lengan panjang dan menyimpan racun perosak di tempat khas, berkunci, jauh dari kanak-kanak dan sumber air.

Razali berkata, peladang mesti berdisiplin menggunakan racun berdaftar dan ikut arahan semasa manakala pusat pengumpulan mesti memainkan peranan menyaring hasil sebelum dipasarkan serta menyediakan dokumen atau rekod pembelian sayur dari pekebun.

Agensi kerajaan pula akan terus memantau, membimbing dan menguatkuasakan undang-undang, ujarnya.

Dalam hal ini katanya Kerajaan Negeri Pahang menggalakkan orang ramai untuk membeli sayur dan buah yang mempunyai logo seperti MyGAP dari KPKM atau MeSTI (Makanan Selamat, Tanggungjawab Industri) dari KKM kerana ia merupakan satu jaminan berpunca daripada sumber yang selamat.

Selain itu katanya, Kerajaan Negeri Pahang telah menyalurkan peruntukan sebanyakRM 110,000.00 bagi memastikan semua aktiviti yang dirancang berjalan dengan lancar dan berkesan di bawah Jawatankuasa Kawalan Keselamatan Penggunaan Racun Makhluk Perosak dalam Sayur dan Buah Negeri Pahang – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast