KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menegaskan langkah mengharamkan penyediaan alkohol dalam penerbangan Malaysia Airlines tidak akan menjejaskan daya saing syarikat penerbangan negara itu.
Sebaliknya, tindakan berkenaan akan memperkukuh integriti jenama, menyerlahkan nilai-nilai nasional dan menarik minat pasaran global yang semakin menghargai prinsip etika serta kesedaran halal, kata Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid.
“MAPIM menekankan bahawa daya saing tidak ditentukan oleh penyajian alkohol sebaliknya oleh kualiti perkhidmatan, tahap keselamatan, keselesaan dan identiti budaya yang dibawa oleh syarikat penerbangan tersebut.
“Sebagai pembawa bendera negara Islam, Malaysia Airlines sepatutnya dengan bangga mencerminkan jati diri moral dan nilai Islam Malaysia tanpa menjejaskan kecemerlangan perkhidmatan bertaraf dunia yang telah menjadi kebanggaannya,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Mohd Azmi, dalam trend global semasa, industri pelancongan dan penerbangan semakin menerima konsep perjalanan beretika dan berasaskan nilai agama.
“Banyak syarikat penerbangan antarabangsa telah membuktikan bahawa penerbangan tanpa alkohol tetap mampu berdaya maju dan mendapat penilaian tinggi apabila menitikberatkan mutu layanan, hospitaliti dan keselesaan penumpang.
“Maka, keputusan untuk tidak menyajikan alkohol bukan langkah ke belakang, tetapi satu langkah berprinsip dan berpandangan jauh,” katanya.
MAPIM berpandangan bahawa dasar itu akan m engukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju pelancongan halal dan ekonomi Islam, mewujudkan suasana penerbangan mesra keluarga dan beradab, mengurangkan kos operasi berkaitan lesen alkohol, penyimpanan dan pembaziran dan menjadikan Malaysia Airlines peneraju moral dalam etika penerbangan dan tanggungjawab korporat.
“Pandangan bahawa pengharaman alkohol akan menjejaskan daya saing menggambarkan cara fikir kolonial yang sudah lapuk dan tidak selari dengan realiti pasaran etika masa kini. Daya saing sebenar lahir daripada inovasi, kecemerlangan perkhidmatan dan keutuhan nilai, bukan daripada mengekalkan amalan yang bercanggah dengan tata susila dan identiti negara,” ujarnya.
MAPIM menyeru Malaysia Airlines dan Kementerian Pengangkutan untuk mengambil peluang ini sebagai satu langkah kepimpinan berprinsip – membuktikan sebuah syarikat penerbangan nasional mampu menjadi moden, bertaraf dunia dan berasaskan nilai Islam, tanpa perlu berkompromi terhadap prinsip moral dan akhlak. – MalaysiaGazette














