PUTRAJAYA – Jemaah Menteri hari ini bersetuju dengan 11 perincian dasar dan polisi yang terkandung dalam draf penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Tribunal Anti-Buli.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kertas Kabinet berhubung penggubalan RUU berkenaan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri seawal November ini sebelum ia dijangka dibentangkan di Parlimen pada 1 Disember untuk bacaan pertama.
“Bila kabinet dah melihat kepada rang undang-undang tersebut dan kita akan dalam kelulusan untuk RUU itu dan kita akan bawa ke Parlimen untuk bacaan pertama, kedua dan ketiga.
“Harapan saya, jika semua tiada masalah, kita boleh buat bacaan pertama pada 1 Disember dan bacaan kedua mungkin pada minggu yang sama. Harapannya pada minggu pertama Disember itu kita boleh selesai dengan kewujudan RUU di peringkat Dewan Rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Peluncuran Garis Panduan Khas Pengendalian Kes-Kes Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2025 di Istana Kehakiman, yang turut dihadiri Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim.
Sebelum ini Azalina berkata, pihaknya berharap RUU berkenaan menjadi jalan penyelesaian kes berkaitan buli dengan lebih cepat berbanding proses mahkamah yang mengambil tempoh masa panjang.
Menurutnya, tribunal berkenaan akan berperanan sebagai badan separa kehakiman yang mengendalikan kes berkaitan buli.
Katanya, dengan penubuhan tribunal itu, ia tidak akan mengganggu sistem institusi lain seperti Kementerian Pendidikan (KPM), Majlis Amanah Rakyat (MARA) atau Kementerian Pertahanan dalam pengendalian masalah disiplin, khususnya berkaitan kes buli.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini dilaporkan berkata, Azalina diberi tempoh enam bulan untuk membentangkan kertas cadangan kepada Jemaah Menteri berhubung penggubalan RUU Tribunal Anti-Buli. – MalaysiaGazette
















