KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Sulaiman menyindir kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berhubung dakwaan pencerobohan ke Masjid Rusila, Terengganu baru-baru ini.
Jelasnya, tindakan pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang mencurigakan itu boleh menimbulkan pelbagai dakwaan terhadap pasukan berkenaan.
“Datuk Seri, tidak salah untuk singgah solat di Masjid Rusila, cuma ingin berpesan, masuklah melalui pintu yang betul,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Syahir turut memuat naik rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan tiga lelaki memasuki ruang solat wanita berhampiran tandas wanita dalam keadaan tergesa-gesa dan mencurigakan.
Menurut beliau, rakaman itu dikongsikan oleh Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan ketika sidang media khas di Parlimen yang turut mendedahkan beberapa situasi mencurigakan berlaku di perkarangan Masjid Rusila.
Antaranya, sebuah kereta perak dinaiki dua lelaki diletakkan di tepi pagar kediaman Ahli Parlimen Marang bersebelahan masjid selain beberapa kenderaan dengan lebih 10 individu berpakaian biasa dilihat mengawasi kawasan berkenaan.
Selain itu, tiga lelaki turut dilihat berlari keluar dari masjid sebelum menaiki kereta berwarna biru dan meninggalkan kawasan berkenaan secara tergesa-gesa.
“Difahamkan segala aktiviti berbentuk ‘penyamaran, penyusupan dan pelolosan’ ini dijalankan tanpa sebarang pemakluman atau permohonan kepada pihak pengurusan Masjid Rusila,” katanya.
Mengulas dakwaan operasi taktikal SERE (Survival, Evasion, Resistance, and Escape), beliau mempersoalkan motif sebenar latihan tersebut selain pihak yang dianggap sebagai ‘musuh’, serta sebab Masjid Kampung Rusila dijadikan ‘pangkalan latihan’.
“Berbalik kepada kenyataan Saifuddin, sekali pun dikatakan singgah untuk (latihan) menunaikan solat, adakah ini caranya? Terserah kepada rakyat yang biasa singgah di masjid untuk menilainya. Be professional, Sir,” katanya.
Semalam, dalam satu sidang media, Saifuddin Nasution menjelaskan dakwaan anggota Maritim Malaysia menyerbu Masjid Rusila di Marang, Terengganu pada 19 September lepas hanyalah salah faham dan kes itu telah diselesaikan oleh pihak berkuasa.
Saifuddin Nasution berkata, kejadian sebenar hanya melibatkan enam anggota Maritim yang singgah menunaikan solat Asar semasa menjalani latihan terancang dan insiden itu tidak sepatutnya disalahtafsirkan.
Saifuddin Nasution berkata, latihan itu dijalankan dari Kuala Terengganu hingga ke Kuantan, Pahang dengan beberapa lokasi awam dijadikan checkpoint dan Masjid Rusila adalah satu daripada tempat persinggahan untuk tujuan menunaikan solat semata-mata.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan membangkitkan kebimbangan berhubung latihan tersebut dengan mendakwa sekumpulan 10 hingga 15 individu menaiki lima kenderaan memasuki Masjid Rusila tanpa kebenaran sambil memakai kasut. – MalaysiaGazette
















