KUALA LUMPUR – ASEAN perlu kekal tegas dan bersatu dalam mendepani konflik di Laut China Selatan, kata Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Menurutnya, sebarang keraguan dan pergeseran dalam kalangan negara ASEAN berhubung isu itu hanya akan mendorong kepada perpecahan dan mewujudkan kumpulan-kumpulan minilateral yang boleh menjejaskan keutamaan ASEAN.
Sehubungan itu, kata beliau, semua pihak terlibat sama ada Negara Anggota ASEAN mahupun Rakan Dialog ASEAN perlu meyedari bahawa faktor geografi mengikat mereka dalam isu tersebut.

“Keselamatan serantau mesti menjadi keutamaan dalam segala tindakan kita.
“Adalah penting bagi kita untuk mengamalkan perkongsian, mengelak daripada ketegangan dan menghormati undang-undang antarabangsa yang mengikat kita semua,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di sini hari ini.
Tambah Mohamad, sebagai Sebagai Penyelaras Negara ASEAN bagi China dari Ogos 2024 hingga Julai lalu, Malaysia kekal komited memperjuangkan kepentingan bersama, khususnya dalam memajukan Kod Tatakelakuan (COC) di Laut China Selatan.
Ketika ini, wujdu pertikaian persempadanan Laut China Selatan melibatkan tuntutan bertindih terhadap beberapa pulau, terumbu dan zon maritim oleh China, Vietnam, Filipina, Malaysia, Brunei dan Taiwan.
Ia antara lain melibatkan Kepulauan Spratly dan Paracel, serta Terumbu Scarborough.
Tindakan China meletakkan Sembilan Garis Putus atau ‘Nine Dash Line’ secara unilateral yang memasukkan perairan sekitar Natuna di dalam sempadannya, menjadi punca ketegangan berterusan antara negara gergasi itu dengan negara-negara ASEAN. – MalaysiaGazette
















