KUALA LUMPUR – Program InsectART: Transformasi Serangga ke dalam Karya Seni STEM membuktikan bahawa sains bukan sahaja menarik, malah mampu disampaikan secara kreatif dan menyeronokkan kepada pelajar sekolah menengah.
Program yang diangkat sebagai sebuah inisiatif peringkat kebangsaan bertujuan memupuk minat mendalam terhadap STEM di kalangan generasi muda.
Inisiatif itu diterajui oleh Ts. Dr. Noorhidayah Mamat, Penyelaras Program Ekologi & Biodiversiti, Institut Sains Biologi, Fakulti Sains, UM dengan kolaborasi Dr. Noor Azrizal, Universiti Putra Malaysia.
Ia merupakan salah satu projek di bawah Geran Pendayaan Komuniti @ UniMADANI, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 4, 9 dan 15).
Menurut Dr. Noorhidayah, modul yang dibangunkan berasaskan integrasi sains, teknologi, seni dan kreativiti itu bertujuan untuk meningkatkan minat pelajar terhadap pembelajaran STEM secara amali, memupuk kesedaran pemuliharaan biodiversiti, serta membina kemahiran inovasi dan keusahawanan.
“Tujuan utama program ini bukan sekadar meningkatkan pengetahuan dalam bidang STEM, namun lebih daripada itu adalah satu usaha untuk menyemai rasa cinta terhadap alam sekitar, khususnya kepada serangga yang sering dianggap kecil dan kurang penting, tetapi hakikatnya memainkan peranan yang besar dalam ekosistem,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, program itu juga berjaya mewujudkan jalinan erat antara pelajar dari pelbagai latar belakang melalui aktiviti kolaboratif dan pertandingan hasil seni yang dinilai oleh juri profesional.
Tiga kumpulan terbaik menerima hadiah penghargaan, manakala pelajar lelaki dan perempuan terbaik turut menerima pengiktirafan khas.
Program selama tiga hari yang berlangsung dari 12 hingga 14 September 2025 ini telah menghimpunkan 102 pelajar dari 11 buah sekolah melibatkan empat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dari tiga buah negeri iaitu Johor, Negeri Sembilan dan Selangor.
Bertempat di Pusat Latihan Kulim, Kota Tinggi, para peserta berpeluang menjalani aktiviti lapangan seperti persampelan serangga di habitat semula jadi iaitu Suaka Burung Panti, mempraktikkan kaedah pengawetan resin, dan akhirnya berjaya menghasilkan karya seni yang unik berasaskan biodiversiti.
Program ini turut dibimbing oleh 23 fasilitator daripada kalangan mahasiswa Universiti Malaya (UM), khususnya dari Institut Sains Biologi. -MalaysiaGazette
















