Perdana Menteri , Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman bersama Perdana Menteri Timor Leste ,Kay Rala Xanana Gusmão selepas Majlis Perasmian Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 25 OKTOBER 2025.

KUALA LUMPUR – Detik bersejarah tercipta di Dewan Plenari Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) apabila Perdana Menteri Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmão berdiri di pentas Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 untuk menyampaikan ucapan sulung negaranya sebagai anggota rasmi ASEAN yang ke-11.

Dalam suara bergetar penuh emosi dan air mata yang bergenang, Kay Rala menggambarkan penyertaan Timor-Leste ke dalam ASEAN adalah satu pengiktirafan terhadap perjalanan panjang keberanian dan pengorbanan rakyat negaranya.

Beliau menyifatkan penerimaan itu sebagai hasil daripada visi yang menyatukan semangat kekeluargaan serantau di bawah pimpinan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025.

“Perjalanan kami untuk sampai ke sini panjang dan penuh cabaran. Sejak permohonan kami pada 2011, kami telah menyiapkan institusi, memperkukuh dasar, membina kapasiti dan memperkuat demokrasi.

“Hari ini, usaha itu akhirnya membuahkan hasil,” katanya sebak disambut tepukan gemuruh para pemimpin ASEAN.

Kay Rala turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia, Sekretariat ASEAN, serta semua negara anggota yang katanya percaya kepada semangat dan keupayaan Timor-Leste untuk berdiri sama tinggi.

Beliau menegaskan penyertaan ini bukan penamat, sebaliknya permulaan kepada satu perjalanan baharu yang menginspirasi di mana Timor-Leste akan berperanan aktif dalam membina Komuniti ASEAN 2045 yang inklusif, aman dan makmur.

“Kami datang bukan hanya untuk menjadi pemerhati, tetapi rakan sejati dalam memastikan tiada sesiapa tertinggal. Kami akan bersama membina masa depan yang adil, damai dan saling menghormati,” ujarnya semangat.

Reaksi Perdana Menteri Timor Leste ,Kay Rala Xanana Gusmão selepas menandatangani deklarasi sempena Pemeteraian Pengisytiharan Kemasukan Timor-Leste ke dalam ASEAN pada Majlis Perasmian Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 25 OKTOBER 2025.

Kay Rala juga menekankan bahawa nilai utama ASEAN rasa hormat, kerjasama, perpaduan dan solidariti akan menjadi panduan Timor-Leste dalam mengorak langkah sebagai anggota baharu.

“Inilah saat yang membuktikan kekuatan ASEAN sebagai keluarga yang besar, di mana setiap negara, besar atau kecil, mempunyai tempat dan suara,” katanya lagi.

Mengakhiri ucapannya, Gusmao menundukkan kepala dan mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Timor-Leste atas doa dan ketabahan mereka selama lebih sedekad menantikan hari bersejarah ini.

“Ini bukan pengakhiran perjalanan kami ini adalah permulaan bab yang baharu. Terima kasih, ASEAN kerana menerima kami ke dalam keluarga ini,” katanya.

Timor-Leste berjaya mencapai kemerdekaannya pada 20 Mei 2002 selepas dijajah Indonesia selama 24 tahun bermula 1975 hingga 1999 dengan menyaksikan Kay Rala sebagai presidennya yang pertama.

Selain menjadi sebuah negara yang bebas dan berdaulat, Timor-Leste turut dilimpahi dengan kekayaan sumber asli terutamanya minyak dan gas serta kebudayaan.

-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast