Peserta berhimpun bagi menyuarakan bantahan terhadap kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Himpunan Bantah Trump di Dataran Merdeka. Foto MUHAIMIN MARWAN, 26 OKTOBER 2025

KUALA LUMPUR – Perhimpunan aman membantah kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke Malaysia yang diadakan di Dataran Merdeka di sini pagi tadi berlangsung dalam keadaan terkawal dan tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadil Marsus berkata, perhimpunan yang bermula sekitar 9.30 pagi itu dihadiri kira-kira 100 peserta dan selesai dengan aman di bawah kawalan rapi anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“PDRM mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur kerana berjaya mengawal peserta serta mematuhi peraturan dan arahan yang telah ditetapkan.

“Pihak polis komited memastikan keselamatan awam sentiasa terpelihara dan perhimpunan dapat berlangsung dalam suasana aman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian susulan penganjuran perhimpunan bantahan terhadap kehadiran Trump ke Malaysia sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).

Sidang kemuncak itu turut disertai pemimpin tertinggi daripada 10 negara anggota ASEAN serta rakan dialog utama.

Menurut Fadil, Trump tiba di Malaysia pukul 10.05 pagi dan disambut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Beliau menegaskan, PDRM akan terus memantau situasi keselamatan sepanjang tempoh sidang kemuncak berlangsung dan memastikan ketenteraman awam terjamin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast