Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah (tengah) bercakap kepasa wartawan ketika sidang media di Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 28 APRIL 2025. (GAMBAR FAIL)

PUTRAJAYA – Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu, pihak pendakwaan `terlepas peluang’ untuk membawa pulang ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low bagi mengaitkannya dengan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berhujah, Jho Low yang didakwanya sebagai dalang utama penyelewengan dana 1MDB masih gagal dikesan manakala lokasi keberadaannya masih tidak dapat dipastikan oleh pihak berkuasa.

Hujah beliau, pendakwaan bertanggungjawab mengemukakan orang buruan itu ke mahkamah bagi membuktikan kesnya namun usaha untuk membawanya pulang masih menemui jalan buntu.

Peguam kanan itu turut mempertikai sama ada pihak berkuasa telah menggerakkan usaha yang mencukupi untuk mengesan ahli perniagaan tersebut.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak tiba bagi penghujahan saman SRC International Sdn Bhd terhadapnya di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 08 JULAI 2025 (GAMBAR FAIL)

Menurut Muhammad Shafee, ekoran kegagalan itu, pendakwaan terpaksa bergantung kepada keterangan saksi-saksi lain untuk menguatkan kes terhadap Datuk Seri Najib Razak.

Hujah beliau, antaranya keterangan saksi sekunder seperti bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan walhal keterangan itu tidak boleh dipercayai kerana ia dibina atas `dengar cakap berganda’ (double hearsay).

“Kebanyakan keterangan saksi pendakwaan bersandarkan kepada khabar angin yang tidak boleh diterima di bawah Akta Keterangan.

“Sebagai contoh, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dalam banyak keadaan berkata `inilah yang dikatakan oleh Najib seperti yang diberitahu Jho Low kepada saya’.

“Jho Low tidak dipanggil ke mahkamah manakala Datuk Seri Najib menafikan berkata demikian. Pembelaan tidak boleh mengesahkan apa yang dikatakan Shahrol Azral kerana kami tidak boleh memeriksa balas Jho Low,” hujahnya.

Muhammad Shafee menegaskan, kes 1MDB merupakan yang pertama dalam sejarah yang mana sebahagian daripada kes pendakwaan bukan sahaja dibina atas dua khabar angin malah memetik individu yang tidak berada di mahkamah.

Hujah beliau lagi, kegagalan pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Penguasa Kanan Nur Aida Arifin mengesan Jho Low juga memberi kesan kepada kes pendakwaan.

Hujah beliau, Nur Aida tidak mengemukakan dokumen berbentuk pengesahan dari pihak Jabatan Imigresen mengandungi bukti keluar masuk Jho Low, amaran sempadan atau surat dari Interpol atau permintaan rasmi kepada pihak berkuasa asing bagi mengkategorikan lelaki itu sebagai `orang yang gagal dijumpai’.

Mahkamah sedang mendengar penghujahan kes bekas Perdana Menteri yang menghadapi empat pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.

Prosiding di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Najib didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi pertuduhan pengubahan haram pula antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013 di lokasi sama. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast