aeritren
Hari pertama operasi Perkhidmatan Penggerak Penumpang Automasi (Aerotrain) diiringi Menteri Pengangkutan, Anthony Loke di KLIA, Sepang. Foto SADIQ SANI, 01 JULAI 2025

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil mengkritik Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berikutan insiden kerosakan berulang sistem aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Beliau berkata, isu tersebut bukan sahaja mengganggu keselesaan penumpang malah menjejaskan imej Malaysia di mata dunia, khususnya apabila pelawat dan pemimpin luar negara turut terkesan.

“Anthony Loke, ini sudah berapa kali aerotrain ini rosak. Masa ASEAN summit yang pemimpin-pemimpin luar negeri datang pun ia rosak,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.

Beliau berkata demikian mengulas laporan media bahawa perkhidmatan aerotrain di KLIA sekali lagi mengalami kerosakan awal pagi ini, menyebabkan penumpang yang terkandas terpaksa berjalan di atas landasan dalam keadaan gelap sambil membawa bagasi.

Setakat ini, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung insiden tersebut atau memberikan perkembangan mengenai situasi semasa.

Dalam pada itu, Isham menyifatkan keadaan itu sebagai kegagalan kementerian terbbait menguruskan perkara asas berkaitan perkhidmatan pengangkutan awam di pintu masuk utama negara.

“Kalau ini pun kamu tak boleh jaga, baik kamu letak jawatan sahajalah. Buat malu Malaysia saja,” tegas beliau.

Menurut Isham, janji-janji kerajaan untuk menambah baik sistem pengangkutan tidak selari dengan apa yang berlaku di lapangan, sekali gus menimbulkan kekecewaan rakyat.

“Cakap berdegar-degar,” ujarnya, merujuk kepada prestasi semasa Menteri Pengangkutan itu.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah sebelum ini berkata sebanyak 19 insiden gangguan dilaporkan berlaku terhadap sistem Aerotrain di KLIA dari tempoh 2 Julai hingga 30 September lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast